Monday, November 28, 2022

Tidak bimbang analisis politik, menang atau kalah PRU14, Amanah tetap bertahan

Secara Rawak

(Kenyataan media Hj Mohamad Sabu)

KUALA LUMPUR: Parti Islam se-Tanah Melayu yang kemudiannya menjadi Parti Islam se-Malaysia (Pas) ditubuhkan pada tahun 1951, dan berkembang agak perlahan.

Pada 1955, Pas hanya menang satu kerusi di Krian dan kemudian pada 1959 membuat kejayaan yang agak besar di Kelantan dan Terengganu.

Saya bersama dengan parti Islam sejak 1978. Bersama Tuan Hj Yusof Rawa, Ustaz Fadhil Noor, Ust Abd Hadi Awang dan lain-lain pimpinan.

Kami berusaha mengembangkan pengaruh Pas di Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Pahang dan Selatan Perak.

Setiap kali pilihan raya, Pas akan hilang wang pertaruhan di kebanyakan tempat. Bahkan pada PRU13 lalu, masih lagi ada calon Pas yang hilang wang pertaruhan seperti di Kota Tinggi dan wilayah tengah Johor.

Begitu juga di selatan Selangor dan tengah Selangor.

Bagaimanapun di Selangor, Pas berjaya menang 15 kerusi hasil gabungan dalam Pakatan Rakyat dan sokongan undi masyarakat bukan Islam.

Para pejuang Pas tetap bersabar meneruskan kempen mereka dan ia bertahan sehingga 2015, apabila berlaku pergolakan besar dalam parti itu.

Maka lahirlah Amanah, sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai dasar, bersikap inklusif serta terbuka, bersifat merubah (reform) kepada Pas serta gerakan Islam di dunia ini.

Parti Amanah yang baru berusia setahun ini berkembang begitu pesat. Bulan ini, dalam salah satu majlis di Salor, Kelantan kita menerima permohonan keahlian dari beberapa orang profesor, aktivis dan NGO untuk bersama Amanah.

Perkembangan yang cepat dan saya yakin ia akan bertahan walaupun apa keputusan pilihan raya yang akan datang.

Amanah mahu kemenangan dalam pilihan raya yang akan datang, tetapi jika berlaku sebaliknya Amanah akan tetap bertahan dan akan terus maju menjadi parti masa depan yang cemerlang.

Saya berpengalaman mengembangkan parti Islam lebih 38 tahun dan sekarang memimpin Amanah bersama rakan yang lain. Saya melihat perkembangan Amanah jauh lebih cepat diterima rakyat terutama di negeri-negeri sebelah selatan.

Inilah kehendak dan tuntutan umah sekarang ini sama ada dari orang Islam atau bukan Islam.

Pendukung Amanah, jangan rasa ragu dan bimbang terhadap analisa sementara yang dibuat oleh pelbagai pihak kerana Parti Islam Amanah yang bersifat ideologi, kontemporari dan inklusif ini dapat bertahan dan terus berkembang walau apa pun keputusan pilihan raya.

Ada parti politik yang ditubuhkan begitu hebat seperti Semangat 46 yang dianggotai oleh bekas menteri kabinet dan tokoh Umno. Namun, parti tersebut tidak mampu bertahan dan sempat dua kali pilihan raya sahaja.

Bagi Amanah, kita sedar pilihan raya yang akan datang merupakan suatu ujian yang besar dan kita mahu kemenangan yang besar dan parti ini terus berkembang serta hidup subur.

HJ MOHAMAD SABU

Presiden Parti Amanah Negara

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru