Bajet 2017 dijangka penuhi aspirasi rakyat

Di sebalik cabaran ekonomi, rakyat mengharapkan Bajet 2017 akan memberi tumpuan kepada  langkah konkrit untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan mengukuhkan kedudukan fiskal kerajaan, selain meringankan kos sara hidup rakyat.

Bagi rakyat kebanyakan, soal survival, harga barangan, kos pengangkutan, pendidikan anak-anak, perumahan dan kesihatan adalah lebih utama. Jadi bagaimana bajet itu nanti memberi kesan dan manfaat langsung kepada kehidupan seharian mereka adalah begitu penting.

Pihak kerajaan telah berunding dan berdialog dengan pelbagai pihak, selain Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendapatkan masukan dan cadangan daripada rakyat melalui media sosial untuk memastikan bajet berkenaan menepati matlamat negara dan memenuhi aspirasi rakyat.

Dalam pembentangan Belanjawan 2016 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, beliau meluluskan sebanyak RM29.2 bilion peruntukan untuk Sabah dan Sarawak.

Peruntukan  itu adalah untuk pembinaan Lapangan Terbang Mukah, Sarawak, projek perparitan bagi mencegah berlakunya banjir, penubuhan Institut Latihan Perindustrian Serian Sarawak serta pinjaman tanpa faedah melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dan kerjasama kerajaan negeri bagi tujuan membina rumah-rumah panjang.

Dalam belanjawan yang bertemakan ‘Mensejahtera Kehidupan Rakyat’, sebanyak RM260 juta disediakan untuk Program 1Harga 1Sarawak dan Program 1Harga 1Sabah bagi memastikan keseragaman harga barangan terpilih

Bajet 2014  meningkat kira-kira RM31 bilion berbanding Bajet 2013,  iaitu sebanyak RM232.8 bilion dengan RM201.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Jika Bajet 2014 merupakan bajet pertama selepas Barisan Nasional memenangi PRU-13, bajet 2015 pula merupakan belanjawan akhir Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10). Implikasinya, ia menyediakan peruntukan untuk program dan projek berbaki dalam tempoh rancangan pembangunan terbabit, selain  menjadi pelantar bagi memastikan peralihan licin kepada RMK-11.

Bajet 2017 dapat dianggap sebagai bajet bagi menghadapi PRU-14.

Semua pihak mengharapkan agar bajet itu nanti dapat meringankan beban kehidupan mereka, manakala bagi penjawat awam, menantikan berita gembira pemberian bonus.

Yang pasti, bajet bersifat pengembangan itu akan terus memberi fokus kepada usaha mempergiatkan dan merancakkan pembangunan prasarana, pertumbuhan ekonomi, peneguhan kedudukan fiskal, mengukuhkan tadbir urus dan memastikan pengurangan perbelanjaan dan ketirisan,  mengungguli modal insan, selain memberi perhatian kepada aspek kualiti hidup rakyat seperti pendidikan, kesihatan, dan perumahan.

Bajet itu nanti tidak harus bersifat populis, sebaliknya perlu mengutamakan kepentingan jangka panjang negara, tanpa mengabaikan kesejahteraan rakyat.  

Sudah tentu bagi penduduk di Sabah dan Sarawak, mereka mengharapkan agar peruntukan dilipatgandakan bagi merapatkan jurang perbezaan dalam pelbagai bidang, terutama pembangunan prasarana dan usaha untuk mengurangkan kadar kemiskinan terutama di kawasan luar bandar.        

Rakyat Sabah dan Sarawak kini berpendirian bahawa peruntukan lebih besar perlu disalurkan sejajar dengan peranan dan sumbangan mereka memenangi jumlah kerusi yang begitu besar dalam PRU lalu.

Tambahan pula, demi kesejahteraan rakyat, khususnya pengundi setia di luar bandar, usaha serius perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah jalan raya, klinik, sekolah daif, penembusan internet, bekalan elektrik dan air bersih.

Bagaimanakah bajet berkenaan dapat terus mengurangkan jumlah rakyat miskin termasuk kelompok miskin tegar di kedua-dua negeri terbabit?

Melalui bajet ini, kerajaan perlu mengambil kira langkah untuk mengurangkan kadar kemiskinan secara signifikan, terutama dalam kalangan kelompok minoriti, selain meningkatkan kualiti hidup rakyat. Ketaksamarataan pendapatan tidak harus dibiarkan melebar; sebaliknya perlu dirapatkan.

Diharapkan bajet ini dapat mengurangkan jurang ketaksamarataan etnik, negeri, wilayah, serta bandar dengan luar bandar. Pendapatan rakyat perlu ditingkatkan sesuai dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan negara ini negara berpendapatan tinggi. – Sarawakvoice