Friday, October 7, 2022

Tujuh kenderaan, enam kren rosak stuktur runtuh kerana angin kencang di Kidurong, Bintulu

Secara Rawak

BINTULU: Sebanyak tujuh kenderaan dan enam kren pembinaan rosak apabila sebuah struktur bangunan di Agri Bintulu Fertilizers Sdn Bhd runtuh di Jalan Kidurong dekat sini petang tadi.

Menurut Penolong Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan, kejadian berlaku sekitar jam 2.00 petang ketika para pekerja pembinaan sedang berlindung setelah kawasan tersebut dilanda hujan lebat dan angin kencang.

“Lebih 90 pekerja terlibat dalam kerja-kerja pembinaan pada waktu itu, dan mereka bernasib baik kerana berlindung di tempat yang selamat,” katanya.

Berdasarkan maklumat yang diterima katanya, ribut tersebut berlaku sekitar 10 minit dan agak kencang.

Struktur yang runtuh tersebut merupakan salah satu daripada dua blok bangunan yang ketika itu sedang dalam pembinaan menggunakan rangka besi.

Kata Farhan lagi, dua jentera bomba dan sebuah ambulans EMRS daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu dengan kekuatan lapan anggota dikejarkan ke lokasi

“Bagaimanapun berdasarkan gerakan mencari dan menyelamat yang diadakan, termasuk di dalam kenderaan yang remuk ditimpa struktur, kita dapati tiada mangsa yang terlibat.

Anggaran kerugian masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Sejak dua minggu lalu, kawasan pesisir bandar Bintulu, yang terletak di pinggir laut sering menerima ribut petir dan angin kencang dengan kekuatan sekitar 40 ke 50 km per jam. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru