Tuesday, December 6, 2022

Pasaran tenaga SEB melonjak empat kali ganda kerana SCORE – Pengerusi

Secara Rawak

BELAGA: Sarawak Energy Berhad (SEB) mencapai peningkatan jualan tenaga sebanyak empat kali ganda menerusi segmen Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), untuk tempoh tujuh tahun kebelakangan ini.

Pengerusinya, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi berkata, rekod ini amat memberangsangkan dengan SEB berjaya meningkatkan jualan daripada 4,700 Gwh pada tahun 2009 kepada lebih 20,000 Gwh sehingga sembilan bulan pertama tahun ini.

71e2d7cf-3960-4565-ae5d-3e579c7b5f3a

“Ia pencapaian yang amat memberangsangkan apatah lagi dengan wujudnya komitmen permintaan daripada industri berintensifkan tenaga daripada SCORE serta pelanggan eksport yang berjumlah lebih 3,000 MW.

“Keadaan ini turut meningkatkan kapasiti pemasangan tenaga daripada 1,300 MW kepada 4,600 MW , dan dijangka meningkat kepada sekitar 5,300 MW pada tahun 2020 dan sekitar 8,000 MW pada lima tahun berikutnya,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena perasmian Loji Hidro Elektrik Murum di sini semalam.

Loji yang dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud itu merupakan yang kedua diusahakan oleh Sarawak Energy Berhad, selepas Empangan Hidro Elektrik Batang Ai, lebih 30 tahun lalu.

Menjelas lanjut, Abdul Hamed berkata, pihaknya kini sedang melabur untuk infrastruktur yang membolehkan sistem transmisi dan pengedaran tenaga berlaku secara lebih stabil dan berkesan.

“Sarawak selayaknya menerima sistem bekalan tenaga elektrik yang moden seterusnya menjadi yang terbaik di wilayah ini,” katanya sambil menjelaskan Sarawak kini mengeksport tenaga ke Kalimantan Barat selain merancang untuk memasuki pasaran Sabah dan Brunei.

Tambahnya lagi, Kalimantan Timur turut berminat dengan kepakaran SEB dan kini sedang merancang pembangunan sektor tenaganya dengan bantuan syarikat itu.

Bagi membuktikan komitmennya kepada SCORE, Abdul Hamed berkata, SEB telah meningkatkan kapasiti sumber manusianya dalam persekitaran segmen itu.

“Sejak SCORE dilancarkan, tenaga kerja SEB telah berkembang daripada 2,800 kepada 4,600 kakitangan, yang menempatkan pakar-pakar dari Sarawak dalam bidang kejuruteraan, pembangunan projek, kewangan, perundangan dan komunikasi,” katanya lagi.

“Ia sesuai dengan peranan kami sebagai katalis kepada SCORE, yang merupakan Pelan Prmbangunan Perindustrian Sarawak dan strategi untuk mencapai kemakmuran ekonomi pada masa depan,” jelasnya lagi.

Daripada hanya cetusan idea 10 tahun yang lalu, projek ini kini muncul sebagai loji kuasa hidro dengan penghasilan tenaga boleh diperbaharui dengan karbon yang rendah, sesuai untuk operasi oleh industri-industri di taman perindustrian.

“Ia malah ditawarkan dengan kadar yang kompetitif dan menarik di peringkat global,” jelasnya lagi.

Kehadiran Projek Empangan Murum jelasnya, telah menyuntik tambahan 944MW kepada pasaran tenaga tempatan, terutama untuk SCORE.

Sehingga kini, sebanyak 75 peratus daripada keluaran tenaga di negeri ini dijana oleh kuasa hidro manakala selebihnya daripada kuasa haba, arang batu dan gas.

“Kepelbagaian ini membolehkan kita menjamin akan keselamatan tenaga yang berterusan selain membolehkan kita mengoptimumkan sumber tenaga daripada alam semula jadi yang lain seperti arang batu dan gas.

Katanya lagi, dominasi terhadap tenaga hidro bermakna ia memberi jaminan kos generasi yang lebih rendah, dengan pelanggan organik di negeri ini kini membayar tarif elektrik yang lebih rendah berbanding semua sektor di Malaysia selain muncul antara yang paling rendah di rantau ini.

“Pada masa yang sama, ia membolehkan SEB dilindungi daripada turun naik harga bahan api fosil, selain membolehkannya memainkan peranan efektif dalam menangani perubahan iklim, terutamanya mengurangkan pelepasan karbon daripada sistem kuasa, yang dianggarkan mencapai hampir 60 peratus.” – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru