Keputusan tepat tukar ekonomi Sarawak kepada berintensifkan tenaga – Taib

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

BELAGA:  Strategi kerajaan negeri menukarkan corak ekonomi daripada berasaskan pertanian kepada industri berintensifkan tenaga ternyata berhasil apabila ia berjaya menukar iklim ekonominya.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud berkata, usaha ini dapat dilihat menerusi kejayaan negeri ini menarik pelabur-pelabur asing untuk menanam modal di negeri ini.

taib-sesco

“Pada mulanya kita hendak membangunkan lebih 100 juta hektar tanah untuk projek pertanian berskala besar, yang menyaksikan jalinan kerjasama di antara kerajaan negeri dan sektor swasta.

“Tetapi apabila kita melihat jauh daripada itu, kita dapati tidak ada cara lain untuk membangunkan negeri ini kecuali melalui aktiviti perindustrian.

“Pada waktu itu, berhadapan dengan masalah populasi dan ketiadaan sumber, yang menjadi tarikan utama untuk industri.

Kerana itu katanya, beliau amat bersyukur apabila diperkenalkan kepada teknologi ‘kuasa hidro’, yang amat sesuai dibangunkan di negeri seperti Sarawak.

“Kedatangan industri amat penting kerana selain mengukuhkan ekonomi negeri, ia juga memberi peluang kepada golongan muda untuk berkhidmat di negeri mereka,” katanya ketika berucap melancarkan Loji Hidroelektrik Murum di sini, petang tadi.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan Pengerusi Sarawak Energy Berhad, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi.

Kata Taib lagi, beliau bersyukur kerana Sarawak sebelum ini telah memiliki pengalaman membina dan menguruskan Empangan Batang Ai dan Bakun.

“Pengalaman ini membolehkan kita menangani beberapa kesukaran dan pergi ke kawasan paling pedalaman di negeri ini untuk hasilkan kuasa .

“Apabila kita melihat potensi ini, kita sebenarnya hanya menggunakan setengah daripada keupayaan yang ada, dan ini memberikan peluang kepada kita untuk membawa lebih banyak industri.

“Oleh itu kita perlu bekerja kuat untuk menarik industri berintensifkan tenaga ke negeri ini.

Populasi negeri ini katanya, akan meningkat tetapi ia tidak akan cukup untuk menyokong industri yang datang ke negeri ini, jika ia berjaya mengekalkan momentum untuk membangunkan sumber tenaga yang murah berasaskan hidro.

Tun Taib berkata, beliau gembira kerana rakyat negeri ini tidak mempunyai masalah untuk menerima pembangunan.

“Baik di hulu sungai mahupun di hulu pergunungan,mereka boleh menyesuaikan diri untuk menerima kedatangan orang luar untuk bekerjasama membangunkan negeri, ” katanya lagi.

Murum katanya, adalah kemuncak kepada usaha kita dan ia akan mengajar banyak tentang masa depan dan  keperluan kita untuk membina kuasa hidro.

“Pembangunan kita pada masa depan banyak bergantung kepada keupayaan kita untuk menerima idea baharu dan kemampuan untuk bekerjasama tidak kira ia jauh dari pusat bandar atau di hulu gunung.

“Ia membuktikan kita berkemampuan menguruskan sumber manusia, dan menguruskan kewangan secara berhemah, sekali gus membolehkan kita membangunkan lebih banyak industri pada masa depan, terutamanya yang berasaskan tenaga.

“Ia adalah cara terbaik untuk kita menikmati kemakmuran,” katanya lagi.

Pada majlis yang sama, beliau turut merakamkan terima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad, Datuk Torstein Sjotveit atas usahanya merealisasikan projek tersebut.

Torstein, 61, akan menamatkan kontraknya bersama Sarawak Energy Berhad pada bulan hadapan. – Sarawakvoice

Terbaru