Thursday, September 29, 2022

12 perkara yang dapat dibuat dengan 1 undi

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz berkata, antara tanda keprihatinan warganegara terhadap negara adalah kesegeraan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Seruan beliau itu dibuat di sebalik kegagalan lebih 4 juta pengundi yang layak mengundi tidak berbuat demikian.

Kalau pilihan raya umum diadakan pada suku pertama tahun depan, bermakna itulah jumlah yang tidak dapat menentukan masa depan negara.

Tarikh tutup untuk pendaftaran adalah pada 30 September ini.

Dengan satu undi anda yang penuh tanggungjawab, jelas beliau, pengundi dapat menghukum kaki rasuah, menolak kezaliman, membendung pembaziran dan keborosan dan menggembirakan orang miskin.

Selain itu, kata Ahli Parlimen Pasir Mas, undi juga dapat menyelamatkan rakyat teraniaya,
mengangkat pemimpin yang amanah, menjatuhkan pemimpin yang sombong menggagalkan usaha jahat terancang terhadap negara dan mengembalikan keyakinan negara luar terhadap kekuatan negara.

Menurut Nik Abduh, dengan undi berkenaan juga dapat memberikan harapan masa depan yang cerah kepada anak muda, mengukuhkan sokongan terhadap usaha amar makruf nahi munkar dan menjulang kedaulatan agama Islam.

Justeru katanya: “Bersegeralah mendaftar sebagai pengundi. Pada hari pertama anda mengundi, anda akan rasakan kemanisan menjadi seorang yang paling bertanggungjawab terhadap negara.”

Ujarnya, bayangkan pahala besar yang anda akan peroleh hasil sumbangan besar anda kepada rakyat dan negara.

“Jika tidak, tiada selain kerugian yang besar bakal memukul anda,”’ tambahnya.

“Negara kita tanggungjawab kita. Cintailah negara dengan sifat amanah. Pilihlah yang terbaik untuk negara,” ujarnya lagi.

Berdasarkan statistik  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sehingga 31 Disember 2015, 17,658,700 rakyat Malaysia berusia melebihi 21 tahun layak menjadi pengundi.

Daripada jumlah tersebut 13,468,946 telah mendaftar.

Hal ini bermaksud terdapat 4,189,754 yang tidak mungkin dapat mengundi pada PRU akan datang jika mereka tidak pergi mendaftar.

Daripada jumlah yang layak mengundi tetapi belum mendaftar itu pula bangsa Melayu mencatat peratusan tertinggi iaitu 43 peratus diikuti Cina (29 peratus) dan India (9 peratus).

Pendaftaran boleh dilakukan  dengan mengunjungi ibu pejabat SPR, pejabat pilihan raya negeri dan pejabat pos berkomputer.

Mereka juga boleh mendaftar melalui pendaftaran bergerak seperti Out-Reach Team SPR, penolong pendaftar parti politik atau penolong pendaftar di semua pejabat kerajaan yang dilantik oleh SPR.

Pemohon hanya perlu mengisi Borang A berdasarkan maklumat yang terdapat dalam kad pengenalan, resit JPN KPPK 9 atau Resit JPN KPPK 11 yang telah disahkan butirannya oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Rakyat yang layak mendaftar sebagai pengundi disyaratkan mestilah warganegara Malaysia, sudah mencapai umur 21 tahun pada hari pengundian, menetap di mana-mana bahagian pilihan raya di Malaysia dan tidak dihalang atau hilang kelayakan oleh undang-undang.

Semakan sebagai pengundi atau pemilih boleh dilakukan menerusi beberapa kaedah antaranya menerusi laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), www.spr.gov.my, melalui SMS ke 15888 atau menelefon 03-88885 6565 – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru