Thursday, September 29, 2022

SPR: Pihak berkepentingan masih boleh kemuka bantahan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya terbuka dan masih menunggu bantahan daripada semua pihak yang terlibat.

Cadangan persempadanan semula oleh SPR telah mendapatan kritikan dan bantahan pelbagai pihak  termasuk Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.

Pembangkang pula menyifatkan langkah yang diambil oleh SPR itu bertujuan untuk memberi keuntungan kepada BN ketika BN sendiri mendakwa ia juga turut terjejas.

SPR sedang mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi negeri-negeri di Semenanjung dan Sabah selama satu bulan bermula 15 September hingga 14 Oktober.

Perlembagaan Malaysia memberi kuasa kepada SPR untuk mencadang dan melaksanakan persempadanan semula bagi tempoh setiap lapan tahun sekali.

Kali terakhir SPR melaksanakan proses persempadanan semula adalah pada tahun 2002 dan diterima pakai pada tahun 2003.

“Tiga pihak ini mempunyai hak mengikut undang-undang untuk membuat bantahan. Kita akan dengar setiap kebimbangan mereka,”’ katanya seperti dipetik media.

Cadangan itu, akan melalui beberapa proses sebelum dimuktamadkan.

“Jika wujud rasa tidak puas hati berhubung cadangan ini, kemukakan bantahan. Semua pihak sama ada parti politik tidak kira kerajaan atau pembangkang, pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pengundi berhak untuk menyuarakan bantahan,” katanya.

Itulah sebabnya, kata beliau, SPR adakan pameran fasa pertama ini dengan memberi peluang kepada semua pihak untuk kemukakan pandangan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas reaksi negatif parti-parti politik termasuk BN berhubung cadangan berkenaan.

Selepas proses bantahan bertulis berakhir pada 14 Oktober depan, SPR akan bersemuka dengan pihak yang terlibat bagi mendengar  kebimbangan yang dibangkitkan semua pihak.

Difahamkan SPR memerlukan masa lebih kurang seminggu untuk meneliti semua bantahan awal itu.

Selepas itu, SPR akan menemui tiga pihak yang terbabit, iaitu kerajaan negeri, PBT dan seratus  pengundi dalam sesuatu kawasan pilihan raya.

Selepas proses itu selesai, SPR akan membuat pameran cadangan fasa kedua dan semakan boleh dibuat bagi mengetahui sama ada bantahan mereka sebelum ini diterima atau tidak. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru