Friday, December 2, 2022

Hemat berbelanja: Jangan bagai mengajar ketam berjalan dengan betul

Secara Rawak

Ketika ekonomi gawat dan tidak menentu, kita sering dinasihati supaya sentiasa hemat berbelanja. Jika kita boros, besar kemungkinan kita akan terjerumus ke dalam masalah besar. Kita tidak akan mempunyai cukup wang untuk berbelanja.

Kemungkinan besar, kita akan terpaksa berhutang.  Apabila sudah dibelitkan oleh hutang, sudah tentu, akan menimbulkan rantaian masalah lain, termasuk tekanan psikologi sehingga menjejaskan hubungan dalam keluarga.

Bagi kerajaan pula, wang yang dimilikinya, bukan untuk dibelanjakan sewenang-wenangnya, tanpa memikirkan kesan dan implikasinya. Disebabkan pendapatan kerajaan berkurangan, sebahagiannya kerana kurangnya pendapatan daripada hasil minyak, maka ini memberi implikasi dari segi jumlah dan pelaksanaan projek.

Peruntukan kepada kementerian, jabatan dan universiti terpaksa dikurangkan. Ini memberi cabaran besar kepada semua pihak terbabit, bagaimana menguruskan jabatan dengan peruntukan berkurangan, tanpa menjejaskan matlamat  dan objektif ditetapkan.

Segala peruntukan yang disalurkan kepada kementerian atau jabatan, perlu mengambil kira kesannya. Adakah perbelanjaan itu berbaloi? Adakah perbelanjaan itu mendatangkan kesan kepada jabatan dan golongan sasar, terutamanya rakyat?

Di sebalik pengucupan nilai ringgit dan ekonomi global yang tidak menentu, kementerian perlu memastikan bahawa setiap sen dibelanjakan dengan kesan yang optimum.   

Menyedari pentingnya amalan tersebut, maka Perdana Menteri  tidak berapa lama dahulu memberi penekanan tentang pentingnya berbelanja berhemat kepada anggota kabinet. Peringatan awal tahun itu memang wajar. Berbelanja sesuka hati, malah bersikap boros, tidak sewajarnya dilakukan lebih-lebih lagi ketika peruntukan kerajaan dikurangkan.  

Jabatan  perlu berbelanja secara berhemah dan sederhana ketika menjalankan operasi masing-masing. Jabatan tidak perlu mengadakan acara yang terlalu hebat, dengan segala macam acara yang menelan belanja yang terlampau besar.  

Sesungguhnya, amat penting bagi jabatan kerajaan membuat analisis kewangan supaya semua perancangan  dan aktiviti, mengikut kos ditetapkan. Pembaziran perlu dielakkan, kerana pembaziran merugikan semua pihak. Peruntukan perlu digunakan sebaik mungkin, dengan memikirkan strategi terbaik untuk mengurangkan kos.   

Amalan kesederhanaan perlu dijadikan asas jika jabatan kerajaan menganjurkan sesuatu majlis. Sesuatu majlis tidak perlu menelan perbelanjaan terlampau besar untuk mendatangkan kesan besar. Kesan besar bukannya ditandai oleh segala macam majlis berwarna-warni.

Perlukah, misalnya, jabatan kerajaan menganjurkan majlis pelancaran projek secara besar-besaran membabitkan kos beratus-ratus ribu ringgit? Atau memadai sekadar projek itu  diumumkan sahaja?  Hati siapakah yang hendak dipuaskan oleh ketua jabatan terbabit apabila mereka berbelanja secara melampau?

Mereka sebenarnya mahu mengambil hati dan memuaskan hati menteri jika menteri  yang melancarkan sesuatu acara. Mereka tidak mahu dianggap tidak cekap dan tidak pandai mengurus acara jika sesuatu acara itu tidak  hebat dan gah. Mereka salah anggap bahawa supaya kelihatan gah, maka perlu peruntukan lebih besar.

Sebenarnya, menteri juga perlu dipersalah jika ketua jabatan mempunyai anggapan demikian dan terjebak dalam amalan buruk itu. Menteri perlu bersikap bijaksana dengan mengingatkan ketua kementerian dan jabatan, betapa mereka tidak perlu semua itu. Cenderamata yang mahal misalnya,  tidak perlu disediakan.

Sesuatu majlis memadai diadakan secara sederhana, tanpa membabitkan kos yang melampau. Yang penting, ia berkesan, dan mendatangkan hasil.

Perlu diingat, tiada agama yang mahu penganutnya bersikap boros. Pegawai kerajaan perlu berasa malu dan bersalah apabila berbelanja tidak ikut arahan dan peraturan.

Mereka perlu berbelanja dengan keinsafan dan kesedaran bahawa wang berkenaan ialah wang rakyat – yang sebahagiannya dikutip daripada Cukai  Barangan dan Perkhidmatan (GST) .  

Kecuaian dalam mematuhi  prosedur  kerajaan, kurang teliti semasa merancang program atau aktiviti, dan menetapkan skop serta spesifikasi tender,  serta kurang beri perhatian terhadap  dampak sesuatu program atau aktiviti, merupakan antara faktor ketirisan dan pemborosan.  

Jangan sampai kerajaan dilihat bagai mengajar ketam berjalan dengan betul dalam soal berbelanja, sedangkan ia melakukan pembaziran dan pemborosan, tanpa rasa malu dan sesal.

Inilah ketikanya untuk kita berpegang kepada prinsip perbelanjaan yang beretika, berhemat,  dan bertanggungjawab dengan penuh akauntabiliti. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru