Parti pembangkang perlu cabar SPR gunakan peruntukan perlembagaan

Kolumnis: Dr Muhammad Asri Mohd Ali
Kolumnis: Dr Muhammad Asri Mohd Ali

Pada pertengahan September 2016, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan untuk mengadakan proses persempadanan semula buat kali kelapan yang melibatkan 128 daripada 222 kerusi parlimen.

Proses persempadanan semula 2016 tidak melibatkan pertambahan jumlah kerusi parlimen, hanya bilangan pengundi di sesuatu kawasan pilihan raya mengalami perubahan berikutan pertambahan pengundi berdaftar dan perubahan sempadan kawasan parlimen dan DUN.

Mengikut negeri, Johor menduduki tangga teratas dengan 21 kerusi, diikuti oleh Selangor 18,  Perak 17, Kelantan 12, Kedah 7 dan Negeri  Sembilan sebanyak 6 kerusi.

Perlembagaan Malaysia memberi kuasa kepada SPR untuk mencadang dan melaksanakan persempadanan semula bagi tempoh setiap  lapan tahun sekali.

Kali terakhir SPR melaksanakan proses persempadanan semula adalah pada tahun 2002 dan diterima pakai pada tahun 2003.

Sepatutnya SPR melaksanakan proses persempadanan yang baharu pada tahun 2013. Memandang PRU ke-13 diadakan pada tahun tersebut, proses persempadanan telah dilanjutkan kepada tahun 2016.

Dalam pindaan terbaharu SPR memberikan tempoh selama sebulan kepada kumpulan dan parti-parti politik untuk membuat bantahan bermula pada 14 September hingga 14 Oktober 2016.

Oleh kerana tiada pertambahan bilangan kerusi parlimen dalam proses pindaan terbaharu, SPR tidak memerlukan kelulusan dua per tiga undian di parlimen. Sekiranya pindaan ini diluluskan, ia akan diguna pakai sehingga tahun 2024.

Semua parti utama seperti BN, PAS, PKR dan DAP menyatakan perasaan tidak puas hati dengan cadangan pindaan pada kali ini. BN misalnya, telah mengumumkan menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji cadangan berkenaan.

Namun begitu, lain sedikit halnya dengan DAP. Pemimpin utama DAP seperti Lim Kit Siang dengan pantas mencadangkan agar kerajaan Pakatan Harapan di Selangor segera mengadakan pilihan raya pada peringkat negeri. Kononnya dengan pindaan ini BN akan merampas kerajaan Pakatan di Selangor

Namun cadangan kurang masak daripada penasihat DAP tersebut segera ditolak oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali yang menyatakan idea tersebut tidak praktikal.

Usaha untuk mempolitikkan keputusan SPR tidak hanya terhenti di situ. Pemimpin DAP lain termasuk Tony Pua, Dr Ong Kian Ming dan sekutu mereka daripada PAN, iaitu Khalid Samad serta merta mengeluarkan kenyataan seolah-olah SPR tidak berlaku adil.

Ong Kian Ming misalnya mendakwa pindaan terbaharu oleh SPR akan membolehkan BN kembali menang Selangor. Kenyataan tidak disokong oleh bukti yang menyakinkan.

Dalam kiraan beliau ‘mungkin tujuh kerusi Pakatan’ jatuh ke tangan BN. Andai kata dakwaan itu betul, tujuh kerusi belum cukup untuk BN Selangor  (12 kerusi) untuk memerintah Selangor yang mempunyai 56 kerusi DUN keseluruhannya.

Seterusnya kawasan majoriti pengundi Cina seperti Bangi (Serdang), Damansara (PJ Utara) dan Klang dikatakan mengalami pertambahan pengundi yang agak tinggi. Ini menjadikan PRU 14 seperti pertentangan antara Melayu dan Cina.

Dakwaan itu mungkin boleh diterima jika angka kemerosotan kawasan parlimen yang berada dalam kategori kawasan campuran tidak diberikan. Sehingga kini semua ‘pakar’ yang menimbulkan isu tersebut gagal memberikan angka yang jelas.

Dakwaan seumpama itu meletakkan SPR dalam perspektif amat negatif. Polarisasi mengikut etnik dalam PRU wujud bukan disebabkan oleh SPR tetapi disebabkan oleh parti yang cuba meraih undi daripada etnik tertentu di negara ini, termasuklah DAP. Ini bukanlah rahsia umum.

SPR membuat cadangan berpandukan perlembagaan dan batasan perundangan. Mereka tidak boleh menjawab menerusi kenyataan media seperti mana orang politik.

Jika benar mereka mempunyai bukti, cabarlah SPR menggunakan peruntukan perundangan, bukan mempolitikkan badan itu sehingga orang ramai keliru. Lagipun tempoh bantahan masih lama lagi, tarikh akhir diberikan sehingga 14 Oktober 2016.

Parti politik harus sedar bahawa undi masyarakat pelbagai kaum di Malaysia bukan hak milik kekal atau eksklusif  parti-parti tertentu. Oleh itu, dalam janganlah menghina kebolehan pengundi untuk berfikir. – Sarawakvoice