‘Gagal’ pertahan 45 minit terakhir, Sarawak kempunan kedudukan selesa

“Saya kecewa kerana sepanjang 45 minit perlawanan, kita berjaya bangkit daripada ketinggalan satu gol kepada 3-1.

“Namun selama 45 minit berikutnya, para pemain bagai hilang rentak, dan terpaksa bergelut daripada pulang dengan kehampaan,” itu luahan David Usop mengulas aksi Sarawak-Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam tadi.

Dalam aksi malam tadi, Sarawak ketinggalan 1-0 pada minit ke-19 menerusi jaringan Gilberto Filho.

Sarawak kemudian bangkit apabila Tommy Mawat Bada menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-23 sebelum berada di hadapan selepas itu menerusi Nur Shamie Iszuan pada minit ke-39.

Penyarang import Gilmar Jose meledakkan gol pada minit ke-44 untuk Sarawak melebarkan defisit gol.

Bagaimanapun babak kedua menyaksikan anak-anak buah Irfan Bakti bangkit bagi menggagalkan misi tiga mata Sarawak menerusi jaringan minit ke-52 oleh Zah Rahan Krangar dan Lutfulla Turaev pada minit ke-89.

Menurut David, berada di tangga kelapan, pasukan pimpinannya masih belum berada dalam keadaan yang selamat.

“Kedudukan kita masih bekum terjamin keran kedudukan mata yang begitu rapat dalam kalangan pasukan terbawah,” katanya.

Sarawak kini berkongsi 21 mata dengan PDRM, diikuti oleh Pahang 20 mata dan Pulau Pinang serta Terengganu 19 mata.

“Dengan situasi rapuh yang membolehkan kita jatuh ke Liga Perdana pada musim depan, kita tidak ada pilihan lain dalam aksi terakhir menentang PDRM 22 Oktober depan.

“Biarpun boleh bernafas lega jika memperoleh keputusan seri, namun bermain di gelanggang sendiri untuk aksi penutup tirai, kita perlu menghadiahkan peminat dengan tiga mata penuh.

Sehubungan itu kata David lagi, beliau akan menggunakan sepenuhnya masa yang berbaki untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi perlawanan penting itu.

“Seboleh-bolehnya saya tidak mahu mimpi ngeri mala mini berulang. Benar, bola itu bulat…tetapi kita sebenarnya masih menggenggam tiga mata sehingga seminit yang terakhir,” katanya lagi.

Ia merupakan keputusan seri ketiga berturut-turut pasukan Ngap Sayot dalam lima perlawanan terakhir pasukan itu. – Sarawakvoice