Monday, November 28, 2022

SPR diminta ikut perlembagaan laksanakan proses persempadanan semula

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Proses persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mencetuskan kontroversi dan bantahan.

Cadangan persempadanan semula oleh SPR  bagi pembangkang akan memberi kelebihan besar kepada Barisan Nasional (BN) untuk merampas kerusi di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

tony-puaAhli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua sebelum ini dipetik sebagai berkata, SPR dengan jelas telah menunjukkan bahawa objektif utamanya adalah untuk memastikan BN menang dan terus menjadi kerajaan.

SPR didakwa melakukan persempadanan dengan menambah majoriti di kawasan yang BN tiada potensi untuk menang dan mengurangkan majoriti di kawasan yang boleh ditawan semula oleh BN.

Menurut Tony, kawasannya yang akan dinamakan semula sebagai ‘Damansara’ menjadi kawasan tunggal terbesar dengan 150,439 pengundi setelah mengalami peningkatan sebanyak 76.2 peratus dari pilihan raya lalu.

Namun begitu, ketika berlaku penambahan pemilih di kawasan Tony, Kapar pula mengalami pengurangan sebanyak 30.3 peratus pengundi, iaitu daripada 144,159 kepada 100,456 orang.

“Dengan itu, Parlimen Kapar yang kini disandang oleh G. Manivanan dari PKR akan menjadi lebih goyah.

“Majoriti 23,790 yang dimenangi pada pilihan raya lalu di Kapar hanya kira-kira setengah daripada hasil cadangan persempadanan semula itu,” jelas Pengerusi DAP Selangor tersebut dalam satu kenyataan.

Selain Kapar, Tony menjelaskan kawasan parlimen Subang yang kini ditukar kepada ‘Sungai Buloh’ turut mengalami pengurangan pengundi daripada 128,543 kepada 73,448 orang berikutan Bukit Lanjan telah dialih ke parlimen Damansara.

Menurutnya, Bukit Lanjan sebelum ini telah menyumbang majoriti 17,200 undi kepada parlimen Subang sehingga memberi kemenangan majoriti kepada R. Sivarasa dari PKR pada tahun 2013.

Dengan cadangan SPR itu,  kata Tony, ia menambah peluang kepada BN untuk menang di kawasan Subang/Sungai Buloh.

“Langkah SPR itu menafikan hak sama rata rakyat Malaysia yang jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya dalam kenyataan tersebut.

Kerajaan Selangor akan mengambil langkah meminta peguamnya meneliti jawapan SPR selepas agensi itu gagal menjelaskan isu utama yang dibangkitkan.

Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali dalam satu kenyataan semalam berkata, bahawa beliau akan mengarahkan peguam parti untuk meneliti semua pilihan undang-undang yang ada.

Kata Azmin, surat dua halaman itu tidak memberi penjelasan atau jawapan kepada soalan yang dikemukakan, tetapi hanya menyatakan semua jawapan bagi soalan berkenaan terdapat dalam laman web SPR.

Justeru,  katanya, jawapan berkenaan membuktikan, SPR tidak punya justifikasi untuk melakukan proses persempadanan semula.

Ujarnya, SPR perlu bertindak secara bertanggungjawab dan tidak mengetepikan soalan penting itu yang menjadi teras demokrasi.

Beliau mengingatkan SPR supaya bertindak mengikut perlembagaan dan mengutamakan kepentingan rakyat.

Hakikatnya, bukan hanya parti pembangkang yang tidak berpuas hati, tetapi juga parti komponen BN sehingga akhirnya ia memutuskan untuk membentuk satu jawatankuasa bagi meneliti isu berkenaan.

Misalnya, Gerakan mendakwa persempadanan semula akan mengakibatkan beberapa kawasan milik parti itu kehilangan pengundi dengan ada yang mencecah sehingga 50 peratus.

Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Kiong berkata pihaknya akan membuat bantahan rasmi kepada SPR berkaitan isu itu. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru