Saturday, October 8, 2022

Shafie bekerjasama dengan USA bagi tumbangkan BN

Secara Rawak

KOTA KINABALU: Pada pilihan raya umum (PRU)  2013, PKR  telah memenangi  tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri dan satu kerusi Parlimen.

Jadi, apabila Darrel Leiking dari PKR menyertai parti yang diterajui bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal, adakah ini bermakna bahawa parti tersebut akan menggugat kedudukan UMNO dan Barisan Nasional di Sabah?

Memang, kehadiran Shafie tidak dapat dipandang mudah.

Parti tersebut kini dalam proses pembaharuan dan permohonan untuk pertukaran nama dan logo serta telah dihantar kepada Pejabat Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Malah kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) juga tidak harus dipandang enteng.

Parti baharu itu menurut Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berupaya menggugat kedudukan beberapa kerusi di Johor khususnya di kawasan yang mempunyai pengaruh kuat bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kini pun terdapat desas-desus bahawa PPBM mahu  bertanding di Muar dan Bakri pada PRU nanti.

Muhyiddin tentu mengidam untuk memastikan kerusi berkenaan dapat dimenangi dalam pilihan raya nanti bagi membuktikan bahawa beliau masih punya taring.

Hakikatnya, kehadiran Shafie dan Muhyiddin tidak harus dipandang mudah kerana kedua-dua mereka sudah lama berkhidmat sebagai Ahli Parlimen meskipun ada pihak yang berpendapat bahawa pengaruh mereka tidaklah sekuat mana dengan Shafie, misalnya dipercayai hanya punya pengaruh dalam kalangan kaum Bajau serta di Timur Sabah.

Wee yang juga Pengerusi MCA Johor berkata, MCA telah mengenal pasti Bakri sebagai salah satu daripada 10 kerusi Parlimen yang mahu dirampas semula pada PRU-14

Malah kini pun terdapat ramalan bahawa  parti pimpinan Shafie dan Muhyiddin akan bekerjasama atas faktor bahawa kedua-dua mereka mempunyai hubungan rapat dalam politik. Lagipun, mereka sedar hanya dengan kerjasama sedemikian mereka dapat menentang BN.

Untuk mengatakan bahawa kehadiran Shafie langsung tidak memberi kesan kepada UMNO, boleh dianggap sebagai cakap tanpa berfikir.

Dengan pengalaman lama dalam politik dan jalinan kerjasama yang kukuh dengan parti pembangkang lain, siapa boleh remehkan kehadiran mereka?

Di Sabah  sebelum ini, sudah ada bukti bahawa parti baharu pun boleh memenangi beberapa kerusi.

Memang Shafie masih banyak berahsia dari segi strategi politik yang bakal digunakannya, tetapi satu perkara adalah pasti. Beliau mahu pastikan pembangkang dapat bersatu kerana hanya dengan kerjasama erat, ada peluang untuk mereka menggugat UMNO dan BN.

Berita yang tersebar di Sabah ketika ini adalah, Shafie hendak bekerjasama dengan pakatan pembangkang Pakatan Pembangkang Bersatu (USA) yang terdiri daripada Parti Cinta Sabah yang dipimpin oleh Datuk Wilfred Bumburing, STAR yang diketuai oleh Datuk Dr Jeffrey Kitingan, dan Parti Progresif Sabah oleh mantan ketua menteri Datuk Yong Teck Lee.

Ketika ini USA (United Sabah Alliance) telah meminta DAP dan PKR memberikan tumpuan di Semenanjung, dan membiarkan parti tempatan menggempur BN di Sabah.

Pada PRU lalu, PKR menang tujuh daripada 60 kerusi DUN dan satu daripada 25 kerusi Parlimen, namun parti itu hilang tiga ADUN dalam tempoh setahun, iaitu Jeremy Majalad (Kadamaian) dan Jelani Hamdan (Matunggong), manakala Bumburing akhirnya keluar menubuhkan Parti Cinta Sabah.

Jadi, bayangkan sahaja kesannya jika Shafie dapat menggerakkan jentera parti pembangkang dengan maksimum, dan meraih undi masyarakat KadazanDusun Murut (KDM)? Kelihatannya masa depan PKR di Sabah agak kelam apatah lagi dengan keluarnya Leiking daripada parti itu. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru