Friday, August 19, 2022

Kita hargai sejarah, bukan agungkan dinasti Brooke – Abang Johari

Secara Rawak

KUCHING: Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan Negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg semalam menafikan bahawa kerajaan negeri mengagung-agungkan pentadbiran dinasti Brooke, dan pemerintahan koloni di negeri ini.

Sebaliknya katanya, rakyat di negara ini tidak boleh menafikan sejarah, bahawa mereka merupakan sebahagian daripada pentadbir Sarawak.

“Suka tidak suka, kita terpaksa menerima realiti bahawa seorang pengembara dari Goa, India telah datang ke Sarawak dengan menaiki skuner Royalist pada tahun 1841 dan terlibat dalam situasi politik tempatan pada waktu itu.

“Beliau kemudian menjadi Rajah Sarawak yang pertama, memperkenalkan demokrasi dan sistem pentadbiran berasaskan musyawarah pertama di Malaysia.

“Parlimen tertua di negara ini adalah pada era Brooke, iaitu persidangan Council Negeri pertama di Bintulu,” katanya ketika melancarkan Galeri Brooke di Kubu Magherita dekat sini, pagi tadi.

Abang Johari menjelaskan, tafsiran sejarah adalah sesuatu yang bersifat subjektif dan beliau menyerahkan kepada para akademik dan pakar sejarah untuk mentafsirnya.

“Kita tidak perlu emosi sebaliknya menjadikan sejarah sebagai salah satu tarikan pelancongan di negeri ini,” katanya.

Katanya, dalam jurai keluarganya, beliau adalah daripada darah keturunan Datu Patinggi Ali yang dikatakan bersekongkol dengan Brooke. Malah beliau juga memiliki darah Datu Patinggi Ghaffur yang dibuang negeri ke Melaka kerana menentang Brooke.

“Justeru tidak adil untuk mengatakan kita tidak sensitif akan sejarah. Malah persepsi tentang Rentap Libau pun pelbagai.

“Ada yang menyifatkan beliau sebagai pejuang dan nasionalis, manakala ada pandangan lain mengatakan beliau adalah lanun.

“Tetapi bukan peranan kita untuk menghakimi mereka.

“Dan kita juga harus bertindak adil kepada Brooke,” katanya.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, kementeriannya kini sedang giat menaik taraf pelbagai premis dan bangunan bersejarah di negeri ini sebagai tarikan pelancongan.

Ini termasuklah kubu-kubu yang ada di negeri seperti Hose di Marudi.

“Pada masa yang sama, kita juga akan membangunkan tarikan pelancongan di Siniawan, Bau yang pernah menjadi penempatan awal masyarakat Cina di negeri ini selain banglo Brooke di Serembu .

“Mereka inilah yang menjadi sebahagian daripada kumpulan penyerang yang menawan Astana Brooke pada tahun 1857.”

Katanya, apabila Lebuh Raya Pan Borneo siap kelak, kawasan-kawasan bersejarah ini akan menjadi tarikan pelancongan di negeri ini.

“Ia akan mudah dikunjungi dan oleh itu, usaha naik taraf perlu dilakukan sekarang.”

Antara artifak yang dipamerkan termasuk mata wang pada zaman Brooke dan model kapal Royalist.

Terdahulu, satu demonstrasi aman oleh sekitar 30 ahli Anak Warisan Sarawak (Awas) di pekarangan kubu tersebut awal pagi semalam.

Perhimpunan tersebut bagaimanapun berlaku secara aman dan ketua kumpulan tersebut yang dikenali sebagai Yusuf Jali telah menyerahkan memorandum bantahan kepada Abang Johari sejurus beliau sampai. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru