Friday, August 19, 2022

Kanak-kanak 7 tahun di Stutong mangsa pedofil, dicabul belakang kedai runcit

Secara Rawak

KUCHING: Trauma dan tidak mampu meluahkan kata.

Itu nasib yang dialami oleh seorang kanak-kanak perempuan Iban berusia 7 tahun, selepas menjadi mangsa cabul seorang pedofilia pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisoner Abang Ahmad Abang Julai berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 10.30 malam di Lorong 8, Jalan Stutong Baru, dekat sini , yang terletak tidak jauh dari tempat tinggal pengadu.

“Ketika kejadian, suspek telah meminta mangsa menemaninya untuk menunjuk jalan ke kedai runcit Unishop, yang terletak di Lorong 17, Stutong Baru.

” Selepas ke kedai, mangsa mendakwa suspek telah membawa mangsa ke belakang kedai sebelum membuka seluar dan cuba “melakukan sesuatu” ke atasnya.

Kata Abang Ahmad, selepas menerima aduan sekitar jam 6.30 pagi semalam, pihak polis telah menubuhkan satu pasukan khas, yang akhirnya dapat menjejak dan menahan suspek di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Stutong, semalam.

“Suspek merupakan seorang lelaki Iban berusia 18 tahun, ditahan untuk membantu siasatan.

Pada masa yang sama katanya, mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk pemeriksaan lanjut oleh doktor pakar.

Mangsa mengalami trauma yang teruk dan hanya dapat menunjuk lokasi di mana perbuatan terkutuk itu dilakukan.

“Kita akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek esok,” kata Abang Ahmad lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Кanun Keseksaan kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan.

Ini merupakan kejadian kelima kes pedofilia yang dilaporkan di negeri ini dalam tempoh tiga bulan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru