Saturday, November 26, 2022

Tuduhan Indonesia baja untuk tujuan keganasan tidak munasabah

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Ketua Polis Negara beranggapan bahawa kegiatan mengangkat baja sebagai amalan biasa dan mungkin dilakukan bagi tujuan pertanian, justeru menangkis dakwaan  bertujuan mencurigakan, termasuk kegiatan keganasan.

Pihak berkuasa Indonesia di Bali kelmarin menahan sebuah kapal dari Malaysia yang membawa kira-kira 30 tan baja yang dipercayai polis mungkin akan digunakan untuk membuat bom.

Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tuduhan berkenaan oleh pihak Indonesia tidak berasas.

“Ia tuduhan yang tidak munasabah. Banyak lagi kapal di seluruh dunia mengangkut baja kerana bahan berkenaan adalah sebahagian keperluan dalam industri pertanian,” katanya pada sidang media selepas pelancaran ‘1Aman Week, Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, di sini, semalam.

Pegawai kastam dan polis Indonesia menyoal siasat kru dan menyiasat bahan itu yang didakwa mungkin ada hubungan dengan rangkaian pelampau ketika Indonesia masih mengambil langkah berjaga-jaga terhadap serangan militan.

Pegawai polis Bali, Hendra Suhartiyono dipetik media sebagai berkata, pihak berkuasa menyiasat sama ada bahan itu akan dibawa ke Sulawesi, wilayah di timur Indonesia yang terkenal kerana kegiatan militan.

Khalid berkata: “Namun, kita tunggu rakan kita di sana memberi maklumat terperinci berhubung penemuan baja tersebut.”

Beliau berkata,  30 tan baja adalah jumlah besar, dan sekiranya mahu digunakan bagi kegiatan keganasan, sudah pasti ia dibawa dengan cara lain, bukannya mengikut laluan berkenaan.

Oleh itu, beliau meminta orang ramai tidak membuat pelbagai andaian negatif. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru