KUALA LUMPUR: Seramai lapan individu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes penipuan mendapatkan gelaran ‘Datuk’ di Sibu, Sarawak, sejak November tahun lepas sehingga 31 Ogos tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, mereka terdiri daripada empat lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 30 sehingga 40 tahun termasuk seorang wanita berusia 36 tahun yang dipercayai suspek utama.

“Polis menerima laporan daripada seorang peguam lelaki berusia 63 tahun yang mendakwa telah diperdaya supaya membayar sebanyak RM604,000 untuk didermakan kepada sebuah yayasan sebagai syarat untuk pengadu mendapatkan gelaran Datuk,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Menurutnya, suspek wanita itu membuat tawaran berkenaan kepada mangsa setelah memperkenalkan diri sebagai orang kanan dan pembantu Raja Permaisuri Agong di Istana Negara pada 18 Nov tahun lepas di Sibu, Sarawak sebelum transaksi pembayaran dilakukan secara tunai dan kemasukan wang ke akaun bank milik suspek.

Acryl Sani berkata, mangsa menyedari dirinya ditipu setelah dimaklumkan oleh Pegawai Istana Negara pada 31 Ogos lepas.

Bagaimanapun, beliau berkata, semakan awal mendapati pengadu telah dianugerahkan Darjah Panglima Jasa Negara Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 4 Jun mengikut saluran yang betul.

Acryl Sani berkata, polis turut merampas wang tunai sebanyak RM1,139, tiga telefon pintar, kad dan buku akaun bank, dua buah buku catatan darjah kebesaran, dua fail putih mengandungi rekod dan rujukan Datuk, 10 album gambar, tali tangan besi dan cincin berwarna keemasan serta sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire.

Beliau berkata, semua tahanan direman selama empat hari bermula semalam sehingga Isnin ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Bernama