Malaysia cadang wujud rangkaian institusi kemahiran ASEAN

0
4

PUTRAJAYA: Malaysia telah mencadangkan untuk mewujudkan satu rangkaian institusi latihan kemahiran di rantau ASEAN bagi memupuk kerjasama erat dalam bidang pembangunan modal insan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata institusi berkenaan akan memainkan peranan meningkatkan kerjasama dan penglibatan dalam pembinaan kapasiti untuk tenaga pengajar, latihan vokasional dan meningkatkan pembangunan kurikulum kemahiran di seluruh ASEAN.

Katanya cadangan tersebut juga akan menampung idea, pandangan dan pertukaran pengalaman dalam kalangan negara anggota ASEAN supaya kekal relevan serta menyesuaikan dengan perkembangan teknologi dan kemahiran yang diperlukan oleh industri.

“Penyertaan dalam pertandingan seperti Pertandingan Kemahiran ASEAN (ASC) adalah peluang terbaik yang patut dihargai setiap peserta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Pertandingan Kemahiran ASEAN ke-11 (ASC 2016) di sini Jumaat.

Bertemakan ‘Kemahiran Untuk Masa Depan Yang lebih Cerah’, Riot berkata ASC 2016 mencerminkan kepentingan peranan tenaga kerja berkemahiran bagi pembangunan mampan rantau ASEAN.

Sejumlah 276 peserta berusia bawah 25 tahun dari 10 negara anggota ASEAN menyertai pertandingan itu, membabitkan 25 bidang kemahiran.

“Ketika ASEAN menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat, keperluan untuk terus meningkatkan kemahiran tenaga kerja seiring dengan kemajuan teknologi menjadi lebih kritikal,” katanya.

Di samping itu, Riot menegaskan bahawa kerajaan sentiasa perlu menyesuaikan diri dengan perubahan transformasi yang pesat melalui kerjasama dengan pihak berkepentingan dan industri.

Ini bagi memastikan tenaga kerja masa depan dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan oleh pasaran kerja masa depan, katanya.

Riot berkata, berdasarkan statistik Pekerjaan dan Perburuhan, sehingga kini sebanyak 5,878 program telah ditauliahkan Jabatan Pembangunan Kemahiran, merangkumi enam kementerian dan 16 agensi awam melalui 1,184 pusat bertauliah awam serta swasta.

“Susulan penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN tahun lepas, anggota blok 10-negara itu akan menghadapi cabaran berkaitan pembangunan kemahiran, gaji dan produktiviti, penghijrahan buruh dan sistem perlindungan sosial,’ katanya. – Sarawakvoice