KUCHING: Kurang 24 jam selepas dispekulasikan sebagai Presiden baharu Persatuan Bolasepak Negeri Sarawak (FAS), Ketua Setiausaha Politik, Abdullah Saidol hari membuat kenyataan bahawa beliau “menolak” tawaran tersebut.

Menurutnya, beliau berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh pimpinan tertinggi persatuan serta peminat bola sepak seluruh negeri, tetapi kerana ada amanah dan tanggungjawab lain yang perlu ditanganinya menyebabkan beliau “angkat tangan”.

“Sebagai ADUN, saya memerlukan lebih mada dan tumpuan untuk kebajikan rakyat dan pembangunan kawasan.

“Justeru saya khuatir tidak dapat bersikap adil dengan sukan bola sepak ini, yang memerlukan pengendali yang fokus 24 jam untuk menjayakan pentadbiran dan pengurusan yang berkesan,” katanya.

Abdullah berkata, beliau telah mengadakan pertemuan empat mata dengan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem semalam dan beliau (Adenan) tidak berhalangan untuk saya terlibat sebagai Presiden FAS.

“Malah Tok Nan menyatakan sokongannya kepada barisan exco baharu yang dilantik serta perancangan FAS.

“Tetapi setelah mempertimbangkan banyak perkara, saya telah menyatakan kepada Ketua Menteri ketidaksediaan saya untuk menerajui persatuan itu,” tambahnya.

Keputusan tersebut juga diambil kerana beliau khuatir akan berhadapan masalah untuk memberi komitmen yang serius kerana tanggungjawab lain sebagai Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, turut menuntut masa yang lebih.

“Saya tidak mahu keadaan seperti yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran,” katanya.

Sebelum ini nama Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Semop mencanak sebagai peneraju baharu FAS selepas Datu Sudarsono Osman dan Datu Abu Bakar Marzuki membuat keputusan untuk mengundurkan diri.

Abdullah, 50 tahun, dipilih kerana pengalamannya dalam bidang korporat dan sering terlibat dalam proses penstrukturan semula syarikat-syarikat korporat di negara ini.

Beliau malah diharap dapat mengubah bentuk pentadbiran FAS serta menyuntik pelbagai elemen baharu untuk persatuan ini maju ke hadapan, selari dengan pasukan-pasukan lain di negara ini.

Sebelum menyertai politik, Abdullah pernah berkhidmat di Perangsang Selangor Berhad, Bursa Saham Kuala Lumpur dan Institut Penyelidikan Pelaburan Malaysia. Beliau kini juga merupakan Ahli Lembaga Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

FAS memerlukan biaya sekurang-kurangnya RM15 juta ke RM20 juta setahun untuk menguruskan pasukannya yang beraksi dalam liga tempatan.

Selain untuk membayar gaji pemain, sebahagian besar perbelanjaan tersebut adalah untuk menguruskan perjalanan dan penginapan.- Sarawakvoice