Monday, June 27, 2022

Sarawak, Johor bekerjasama promosi produk kesenian dan wisata tarik kehadiran pelancong

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak dan Johor bekerjasama mempromosikan produk kesenian dan wisata melalui Program Misi Pelancongan XPLORE Johor.

Program ini mengetengahkan produk serta perkhidmatan pelancongan yang terdapat di kedua-dua negeri bagi menarik kedatangan lebih ramai pelancong.

Tee Siew Kiong
Tee Siew Kiong

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata,  “kekuatan daya tarikan pelancongan di Sarawak dan Johor ditambah perkhidmatan penerbangan yang menghubungkan kedua-dua negeri ini.

“Maka Kerajaan Negeri Johor melalui Tourism Johor merasakan perlu adanya platform hubungan kerjasama di antara kedua-dua negeri ini,” kata Siew melalui teks ucapan yang dibaca oleh Pengarah Pelancongan Johor, Mohd Gadaffie Abd Aziz pada majlis Tourism Johor Mini Travel Mart.

Terdahulu, Menteri Perumahan, Urbanisasi dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata kerjasama seperti ini membantu meningkatkan jumlah kehadiran pelancong ke Sarawak.

Melalui teks yang dibaca oleh Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak, Datuk Abdul Wahab Aziz berkata, “melalui aktiviti yang kita lakukan tahun lalu timbul kerjasama yang melahirkan rasa puas hati kedua-dua pihak yang berjaya membawa masuk sebilangan besar pelancong dan pengunjung dari Johor melawat Sarawak.

“Kali ini kami berharap agensi ini mampu membawa lebih banyak lagi pelancong dari Semenanjung Malaysia datang ke Sarawak.”

Tahun lepas Lembaga Pelancongan Sarawak bekerjasama dengan MATTA Johor menganjurkan aktiviti perniagaan mempromosikan produk masing-masing.

Statistik menunjukkan, pada tahun ini 4.8 juta pelancong dari seluruh dunia mengunjungi Sarawak.

Tahun lalu ekopelancongan menyumbang kehadiran 2.020 juta pelancong dengan 1,115,258 pelancong datang dari Semenanjung Malaysia.

Abang Johari berkata Lembaga Pelancongan Sarawak terus memberi tumpuan membantu rakan kongsi tempatan mempertingkat pakej pelancongan Sarawak kepada pengguna.

Lembaga Pelancongan Sarawak turut menyediakan platform berupa “digital photo-library” yang mengandungi foto berkaitan industri pelancongan Sarawak.

Pustaka digital ini dapat diakses oleh semua pelancong seluruh dunia melalui laman sesawang: photo.sarawaktourism.com. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru