Geng Honda jual motosikal curi hanya RM200 sebuah tumpas di Miri

0
4

MIRI: Kejayaan polis menahan empat suspek Geng Honda dalam serbuan berasingan di Tudau, Piasau dan Kampung Pulau Melayu pada pertengahan September lepas melumpuhkan kegiatan mencuri motosikal melibatkan kerugian RM22,500.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintendan Stanley Jonathan Ringgit berkata soal siasat ke atas suspek warga tempatan berumur 24 hingga 48 tahun itu membawa kepada serbuan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) ke atas rumah pekerja di ladang sawit Kuala Baram.

JSJ berjaya menahan lima lelaki warga asing berusia 25 hingga 50 tahun kerana disyaki memiliki motosikal curi.

Pekerja ladang terbabit mengaku membeli motosikal curi daripada orang tengah dengan harga hanya RM200 sebuah.

Bercakap pada sidang media di Bilik Gerakan Balai Polis Pusat Miri Stanley berkata, turut dirampas enam motosikal curi jenis Honda.

Menurut Stanley, Geng Honda aktif setahun lalu dengan menyasar motosikal jenis Honda yang mendapat permintaan tinggi berikutan motosikal jenis itu lasak digunakan di ladang.

Polis turut merampas sebatang alat kunci buatan sendiri yang dipercayai digunakan suspek melakukan jenayah curi motosikal.

Ekoran penangkapan itu, katanya, polis percaya pihaknya dapat menyelesaikan 21 kes kecurian motosikal di daerah ini.

Kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Manakala warga asing disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963. – Sarawakvoice