SERIAN: Dalam usaha menjadi bandar “bandar patut singgah” (must stop town) di sepanjang jalan Kuching ke bahagian lain Sarawak, Serian perlu mempunyai banyak premis makanan bersih selain mempunyai persekitaran hijau.

img_1555“Seperti kita tahu, banyak kedai makan di Serian sukar mendapat gred A atau B kerana tandasnya tidak cukup bersih,” kata Menteri Belia, Sukan dan Solidariti Dato Sri Michael Manyin Jawong.

Menurut Manyin, beliau sudah mengarah Majlis Daerah Serian (MDS) menumpukan perhatian kepada kebersihan tandas di premis tersebut.

“Saya mahu MDS terus menggredkan premis makanan itu kepada gred A, B, C dan D. Kita boleh minta orang ramai tidak datang ke premis bergred C dan D,” tambah beliau.

Manyin pada masa yang sama menyarankan agar peniaga premis makanan yang mendapat gred A diberi pembaharuan lesen setahun secara automatik sebagai insentif dan mengiktiraf pencapaian mereka.

“Ini menarik peniaga lain untuk turut mencapai gred A,” kata Manyin di majlis pelancaran Kempen Anti-Litter peringkat Serian 2016 pada pagi Rabu.

Manyin berkata negeri ini khususnya bandar Serian perlu mencontohi Singapura dalam menjaga tahap kebersihan bandar.

“Singapura adalah antara bandar raya paling bersih di dunia… ini kerana kerajaan di sana tegas menghukum sesiapa yang membuang sampah merata-rata. Sesiapa yang didapati bersalah didenda S$500.

Menurut Manyin, di sini, kita juga mempunyai undang-undang serupa dengan denda maksimum RM500, namun ia tidak dikuat kuasa secara meluas.

Walaupun Manyin menggesa masyarakat mencontohi Singapura dalam menjaga kebersihan, tetapi beliau berharap melalui kaedah pengiktirafan dengan membaharui lesen secara automatis sebagai insentif, lebih baik berbanding menghukum peniaga.

“Tanggungjawab memastikan Serian sentiasa bersih bukan milik MDS semata-mata, tetapi tanggungjawab pelajar sekolah, orang kampung dan semua penduduk di bahagian ini,” tambah Manyin lagi.

Beliau juga mengarahkan MDS menanam lebih banyak pokok baharu untuk menjadikan Daerah Serian, Tebedu serta Daerah Kecil Siburan lebih hijau seterusnya dapat mengangkat Serian menjadi bandar contoh di Sarawak.

MDS sebelum ini giat mengaktifkan aktiviti kitar semula di sekolah terpilih di Serian melibatkan 3,986 pelajar pada 29 Mac hingga 12 April lalu. – Sarawakvoice