Saturday, December 3, 2022

Mawan contoh ahli politik matang, tabah dan tenang hadapi gelora – Tok Nan

Secara Rawak

KUCHING: “Ketua Menteri tidak akan memberi nasihat kepada saya. Dia percayakan saya dan dia tahu itu,” kata Tan Sri William Mawan, 68 tahun selamba semalam apabila ditanya apakah dia sudah meminta nasihat Tan Sri Adenan Satem sebelum membuat keputusan tentang masa depan politiknya.

William Mawan Ikom, seperti kata Adenan sewaktu melancarkan buku yang dipenuhi kutipan dan ungkapan ucapannya, “Reflections: A Journey of hope , aspirations and perseverance” adalah seorang yang begitu tabah dan cekal.

“Saya tidak tahu beliau seorang ahli falsafah, di sebalik perwatakannya yang happy-go-lucky,” seloroh Adenan sewaktu membuka tirai ucapannya semalam.

Adenan sememangnya cukup mengenali Mawan. Mawan adalah teman rapatnya baik di dalam politik, dalam kabinet negeri mahupun di padang golf. Kerana itu beliau cukup memahami perwatakan Mawan, yang kadang-kadang tidak tenang dan kurang penyabar sewaktu beraksi di padang.

“Tetapi yang pasti, beliau seorang yang tabah dan tidak pernah putus asa. Beliau malah gagah menghadapi pasang surut dan turun naik dalam politik,” katanya.

Bagi Adenan lagi, Mawan seorang yang menghadapi pelbagai episod dalam hidupnya.

“Pelbagai usaha telah dilakukan untuk menjatuhkannya, tetapi dia berjaya kekal dan kini semakin kuat,” katanya.

Mawan merupakan pemimpin kanan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) sebelum parti itu berhadapan krisis, sebelum menubuhkan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP), dan akhirnya mewujudkan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS). Bagaimanapun beliau dipaksa meletakkan jawatan pada Mei lalu untuk bertanding sebagai Calon Barisan Nasional tanpa parti, berikutan TERAS masih gagal diterima sebagai salah satu parti komponen BN, berikutan bangkangan daripada SPDP, yang kini diterajui Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing.

Bagi Adenan, yang menarik tentang Mawan ialah sikap kesederhanaannya.

“Beliau memiliki ciri-ciri ahli politik yang matang dan tidak mudah melatah.

“Perasaan dendam tidak wujud dalam kamus hidupnya dan dia tidak mudah menyerah dengan mudah.

Kerana itulah kata Adenan, Mawan berjaya mengumpul dan memenangi banyak kawan, baik ketika cuaca yang cerah mahupun gelap dalam politik.

“Beliau melalui sejarah politik yang berwarna-warni. Selepas prestasi buruk pada pilihan raya, beliau tidak mudah berputus asa mahupun bersara daripada politik.

“Sebaliknya beliau terus berjuang, tabah dan bangkit daripada abu kekalahan untuk mendapatkan tempat yang sah dalam politik arus perdana Barisan Nasional .

“Sebagai pemain dalam acara berpasukan , beliau memaparkan kepimpinan yang sederhana dan mampu untuk bangkit di sebalik beberapa komplot, seterusnya menjadikan kerjaya politiknya lebih kuat dan ampuh.

Adenan berkata, buku tersebut agak menarik untuk dibaca kerana Mawan membawa pembacanya menyusuri perjalanan hidupnya yang mencerminkan harapan , aspirasi dan ketabahan selain komitmennya terhadap kesederhanaan.

“Ia adalah satu perjalanan yang akan kembali ke zaman mudanya di rumah panjang di Pakan dan melalui tahun yang mencabar dalam politik dan sebagai rakyat biasa.

Kata Adenan, Mawan masih muda dan bertenaga.

“Justeru benarlah, beliau masih mempunyai banyak lagi laluan yang perlu direntasi , banyak lagi bukit untuk didaki dengan rupa bumi yang lebih lasak dan berliku.

“Beliau menggalas tanggungjawab yang lebih besar untuk membantu kepimpinan negeri mengubah kawasan luar bandar ke dalam sfera ekonomi yang produktif dan progresif,” katanya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru