Saturday, October 8, 2022

Kebakaran rumah di Kampung Hilir, Sibu pagi tadi cetus gempar, bimbang insiden Kampung Datu berulang

Secara Rawak

SIBU:  Trauma dengan kebakaran besar yang melanda Kampung Datu di sini pada tahun 2013, warga di Kampung Hilir dekat sini berpusu-pusu kembali ke kediaman mereka pagi tadi setelah mendapat tahu sebuah rumah di situ terbakar.

Malah mereka juga berusaha untuk memastikan api yang membakar kediaman di situ tidak merebak, selaij membantu pihak bomba memadam segera kebakaran tersebut.

Menurut Penolong Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu sekitar 9.54 pagi dan dua buah jentera dengan kekuatan 14 anggota dikejarkan ke lokasi.

“Pasukan tiba enam minit kemudian dan mengambil masa sekitar 21 minit untuk mengawal keadaan,” katanya.

Jelasnya, kebakaran tersebut melibatkan sebuah kediaman satu tingkat jenis separuh kekal yang berkeluasan 30′ x 40′.

“Selain rumah yang terbakar 80 peratus, turut hangus ialah motosikal jenis Demak, yang diparkir di pekarangan rumah.”

Kata Farhan, semua sembilan penghuni kediaman tersebut termasuk seorang lelaki kelainan upaya (OKU) terselamat.

“Kita bersyukur kerana dengan kepantasan para anggota dan kerjasama daripada penduduk kampung, kita berjaya mengawal kebakaran ini daripada merebak sekali gus menghalang tragedi 2013 daripada berulang,” jelasnya.

Katanya lagi, punca kebakaran dan nilai kerugian masih disiasat.

Pada 19 Jun 2013, kebakaran besar di Kampung Datu menyebabkan lebih seratus rumah tradisi musnah, disebabkan api marak dengan cepat, rumah yang cepat dan sistem pencegahan kebakaran yang lemah. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru