Sunday, December 5, 2021

Dua peserta Samarahan Bike Fest 2016 maut dalam dua insiden berbeza

Secara Rawak

BINTULU: Dua penunggang motosikal yang sedang dalam perjalanan menyertai Samarahan Bike Fest 2016 maut dalam kemalangan berasingan hari ini dan semalam.

Menurut Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Deputi Superintendan Alexson Naga Chabu, kes pertama melibatkan seorang juruteknik di SK Merbau, Miri yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 38, Jalan Pesisir Miri-Bintulu sekitar jam 9 pagi tadi.

“Mangsa yang menunggang Honda CBR1000 dipercayai menunggang terlalu laju sebelum hilang kawalan dan terbabas ke kiri bahu jalan.

“Mangsa kemudian terpelanting di atas jalan dan maut akibat kecederaan parah pada kepala.

Mangsa dikenal pasti sebagai Nelson Robert, 42 tahun, berasal dari Permy Jaya, Miri.

Beliau merupakan Presiden Miri Riders Moto Club (MRMC).

Kejadian kedua pula melibatkan seorang penunggang motosikal daripada kelab motosikal LCCS Sibu, Federick Jamit Bunga pada semalam.

Mangsa juga merupakan salah seorang penunggang yang hendak menyertai pesta tersebut terlibat dalam kemalangan di Sibu.

Samarahan Bike Fest akan bermula hari ini dan dirasmikan oleh Menteri Muda Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada Sabtu.

Karim yang dihubungi Sarawakvoice.com petang tadi melahirkan rasa sedih dengan insiden yang berlaku.

Beliau kemudian meminta semua peserta yang terlibat menunggang secara berhati-hati, mematuhi peraturan dan yang penting sekali, menjaga keselamatan.

Selain acara pameran motosikal berkuasa besar, pesta itu turut diserikan dengan acara Battle of The Bands serta konsert oleh Awie Wings. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru