Thursday, December 1, 2022

Daesh: Bukit Aman usir 3 lelaki asing,  tahan seorang rakyat tempatan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan empat lelaki di Selangor dan Pahang kerana terlibat dalam jenayah keganasan bermula 2 Ogos hingga 17 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek pertama merupakan seorang lelaki Bangladesh berusia 37 tahun, yang juga pemilik sebuah restoran di Bukit Bintang.

“Beliau ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan senjata api untuk kegunaan anggota pengganas antarabangsa.

“Lelaki ini tersenarai dalam ‘notis merah’ Interpol dan ditangkap pada 19 Ogos lalu.

“Dia diusir ke negara asalnya pada 2 September lepas,” kata Khalid dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, seorang lagi suspek merupakan warganegara Nepal berusia 38 tahun yang mengendalikan pusat hiburan dan penginapan.

“Beliau disyaki terlibat dalam aktiviti pemalsuan dokumen perjalanan untuk kegunaan pengganas antarabangsa.

“Suspek ditangkap juga pada 19 Ogos dan diusir ke negara asal juga pada 2 September,” katanya.

Kata Khalid lagi, suspek ketiga adalah warganegara Maghribi, berusia 26 tahun dan bekerja sebagai pengimpal besi.

“Suspek merupakan anggota kumpulan pengganas Islamic State yang pernah ditangkap oleh pihak berkuasa Turki pada awal Februari lalu, dalam cubaannya menyusup masuk ke Syria.

“Suspek menyusup masuk ke Malaysia pada awal Mei dan berjaya dikesan dan ditahan oleh pihak polis pada 2 Ogos lalu.

Suspek katanya, juga telah dihantar pulang ke negara asalnya pada 21 September.

Kata Khalid lagi, suspek keempat merupakan warganegara Malaysia yang bekerja sebagai pemandu peribadi.

“Suspek yang berusia 34 tahun disyaki mempunyai hubungan dengan Muhamad Wandy Mohanad Jedy dan mempromosikan perjuangan kumpulan tersebut dalam laman facebooknya.

Kedua-dua suspek warga Bangladesh dan Nepal telah ditahan di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/63 manakala suspek rakyat Malaysia dan Maghribi di tahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma). – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru