ADUN Kalaka hilang 24 jam di pedalaman Lawas

0
3

LAWAS: Lega. Itu yang dapat digambarkan oleh keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Datuk Abdul Wahab Aziz apabila beliau berjaya dihubungi selepas “hilang” selama 24 jam ketika dalam perjalanan kembali dari Long Kenayah, Ulu Pengalih, Lawas semalam.

Abdul Wahab Aziz
Abdul Wahab Aziz

Abdul Wahab yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) terputus hubungan sebaik tiba di lokasi program yang dihadirinya, yang terletak di kawasan pedalaman.

Difahamkan pihak keluarga yang gagal menghubunginya telah memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superitendan Zainal Abidin Abang Ahmad yang mengesahlan perkara itu berkata, sepasukan pegawai dan anggota digerakkan ke Long Kenayah, namun terpaksa berpatah balik selepas satu-satunya laluan ke lokasi berkenaan tidak dapat dilalui kerana becak akibat hujan lebat.

“Pihak kami mencuba ikhtiar lain, termasuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ke telefon bimbit beliau (Abdul Wahab), namun tiada maklum balas,” katanya.

Bagaimanapun difahamkan sekitar jam 11.30 pagi tadi, isteri kepada pemandu Abdul Wahab, berjaya menghubungi suaminya dan mengatakan mereka dalam keadaan selamat.

Difahamkan Abdul Wahab, anak serta pemandunya berada di Long Kenayeh atas urusan Alumni UiTM atau Mitsa, yang beliau merupakan Presidennya.

Abdul Wahab kemudian selamat tiba di Pekan Lawas lewat petang tadi, sebelum mendaftar masuk ke Hotel Seri Malaysia.

Abdul Wahab dijadualkan mewakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg menghadiri Program Pameran Tourism Johor di Hotel Hilton, Kuching jam 9.30 pagi esok.