Monday, June 27, 2022

Peringati arwah kemalangan helikopter, keluarga Mastura bertahlil di Lingga, Sri Aman hari ini

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak kini menjadi tempat yang terpahat di hati Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Tan Sri Mohd Yazid dan anak-anak untuk selama-lamanya kerana di sinilah arwah suaminya menghembus nafasnya yang terakhir.

balu-_0001Mastura bersama-sama empat anak lelakinya Wan Emir Asta, Wan Imar Izzat, Wan Iskandar dan Wan Muhammad Amar mengadakan majlis tahlil di Kampung Lingga di Sri Aman hari ini.

Mastura pada Selasa membuat kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan isteri Datuk Amar Jamilah Anu di Wisma Bapa, Petra Jaya.

Bercakap kepada pemberita selepas kunjungan hormat tersebut, balu Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad itu berkata, beliau dan anak-anaknya akan berjumpa orang kampung serta anggota pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi mencari jenazah arwah suaminya bagi mengucapkan penghargaan.

Allahyarham Wan Mohammad terkorban dalam nahas helikopter di Sungai Batang Lupar, Sebuyau 5 Mei lalu bersama lima yang lain.

Kampung Lingga merupakan lokasi yang begitu hampir dengan tempat jenazah Allahyarham Wan Mohammad ditemui.

“Kami nak ke sana untuk ke lokasi berhampiran jenazah arwah dijumpai.

“Kami juga akan mengadakan tahlil untuk arwah dan berjumpa orang kampung serta anggota pasukan penyelamat dan berterima kasih kepada mereka,” katanya.

Kunjungan hormat tersebut sebagai permulaan acara lawatan rombongan 18 orang termasuk keluarganya ke tapak lokasi kejadian helikopter terhempas terbabit di Sebuyau dibantu pasukan tentera darat.

Rombongan terbabit diiringi Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw dijadualkan menaiki helikopter nuri di Pangkalan Udara Kuching untuk ke Kampung Lingga di Sebuyau bermula 8.30 pagi.

Setiba di Lingga, rombongan menaiki bot yang disediakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama-sama polis marin dan tentera darat ke lokasi nahas termasuk tempat mayat suaminya ditemui.

Dalam kunjungan ke atas Ketua Menteri, Mastura membayangkan banyak usaha dilakukan Kerajaan Negeri bagi memastikan operasi mencari dan menyelamat mangsa nahas helikopter terbabit dijalankan dengan lancar.

Mastura berterima kasih kepada Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri terhadap usaha terbabit sehingga beliau dapat melihat kembali jenazah suaminya dan membawanya pulang ke Kuala Kangsar.

Sebagai tanda terima kasih kepada semua pihak di negeri ini, Mastura meminta anaknya,  penyanyi Wan Emir Asta mencipta lagu khas untuk ditujukan buat mereka. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru