Wednesday, November 30, 2022

Naikkan tempoh bayaran balik pinjaman perumahan kepada 40 tahun bebankan peminjam

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Kemampuan pembeli dan kekurangan bekalan rumah pada harga berpatutan merupakan antara hambatan yang perlu diselesaikan, kata Bank Negara Malaysia.

Untuk itu, BNM berkata, institusi kewangan akan terus memberi pinjaman kepada peminjam yang mampu mengambil pinjaman.

Bank pusat itu mengulas laporan media yang meminta supaya ia mengkaji semula garis panduan memberikan pinjaman dengan melanjutkan tempoh bayaran balik kepada 40 tahun daripada 35 tahun sekarang.

Katanya, tempoh bayaran balik sedia ada adalah munasabah.

“Dengan melanjutkan tempoh pinjaman kepada 40 tahun akan menambah jumlah kos pembiayaan tanpa sebarang peningkatan ketara dalam kemampuan seseorang untuk membayar ansuran bulanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Julai lalu, katanya, jumlah pinjaman perumahan terkumpul yang diberikan institusi kewangan meningkat kepada 10.1 peratus dan berjumlah RM460.2 bilion.

Ujarnya, pelaksanaan garis panduan pemberian pinjaman yang bertanggungjawab bertujuan untuk menjaga kepentingan peminjam agar mereka meminjam ikut kemampuan dan membayar balik pinjaman dalam tempoh ditetapkan.

Hakikatnya, tempoh sedia ada membolehkan peminjam menyelesaikan pinjaman pada usia 60 tahun, iaitu usia persaraan mereka.

Lagipun, menurut penganalisis, jika dinaikkan tempoh bayaran balik ini akan membebankan peminjam.

Katanya lagi, institusi kewangan bertanggungjawab untuk memastikan pendapatan peminjam selepas potongan wajib, perbelanjaan barangan keperluan asas dan semua tanggungan hutang lain adalah mencukupi untuk memastikan mereka membayar balik pinjaman. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru