Sunday, August 14, 2022

Kanun Amanah dakwa RUU Hadi tidak jelas mahu memperkasa kuasa mahkamah syariah

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Biro Undang-Undang (Kanun) Parti Amanah Negara (Amanah) memandang serius polemik berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang diusul di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang 26 Mei 2016 lepas.

Dalam kenyataan medianya pada Selasa, Timbalan Pengerusi Kanun Amanah Wan Anwar Wan Ibrahim mengulangi sekali lagi pendirian yang dibuat pada 28 Mei lepas bahawa usaha untuk memartabatkan kedudukan Mahkamah Syariah harus disokong.

Bagaimanapun, Wan Anwar menyifatkan RUU Marang tersebut bukan sahaja tidak jelas dan mengelirukan, malah langsung tidak memberikan sebarang indikator perihal di sudut manakah Mahkamah Syariah boleh diperkasakan melalui RUU tersebut.

Ini kerana cadangan tersebut disifatkan sebagai menimbulkan ketakutan dan salah faham di kalangan rakyat.

Wan Anwar berkata, “lebih mengecewakan lagi, apabila diminta oleh Amanah menjelaskan maksud ‘memperkasa Mahkamah Syariah’ melalui RUU tersebut pada 6 September 2016, Ahli Parlimen Marang membisu dan membiarkan rakyat terus berada dalam kekeliruan”.

Menurut Wan Anwar lagi, Kanun berpendapat kegagalan tersebut disebabkan RUU Marang diusulkan tanpa berunding terlebih dahulu dengan pihak yang berkepentingan seperti JKSM, negeri, peguam sehinggalah kepada rakyat sendiri melalui wakil mereka yang dipilih sama ada di Parlimen atau di Dewan Undangan Negeri.

Bagi Kanun rundingan dengan pihak berkepentingan amat penting sebelum mana-mana ahli legislatif ingin mengusulkan satu rang undang-undang yang melibatkan Mahkamah Syariah kerana merekalah komponen penting yang terlibat secara langsung dalam sistem keadilan Syariah di Malaysia.

“Kanun mempersoalkan apakah dan di manakah peranan peguam parti Pas yang diwakili oleh Ahli Parlimen Marang tersebut dalam Dewan semasa proses usul RUU tersebut dibuat.

“Dan perlu dijelaskan bagaimana usul RUU tersebut boleh memperkasa Mahkamah Syariah dituntut?” tanya Wan Anwar lagi.

Kata beliau, Kanun percaya selain keperluan kepada peningkatan hukuman yang lebih jelas dan pasti, aspek pemerkasaan Mahkamah Syariah yang lebih mendesak kini adalah melibatkan isu perjawatan, kapasiti, infrastruktur.

Ini termasuk juga pada tatacara siasatan, pendakwaan dan penguatkuasaan hukuman atau perintah yang memberikan kesan yang lebih besar kepada perjalanan sistem keadilan Syariah negara. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru