Saturday, December 3, 2022

Angkat bahasa ibunda seperti Iban, Bidayuh sebagai bahasa pengantar dalam akademik

Secara Rawak

SANTUBONG: Berdasarkan kajian, bahasa ibunda merupakan sumber yang kuat untuk peneguhan dalam pembelajaran.

Justeru, tiada sebab mengapa bahasa ibunda dan budaya sendiri perlu diabaikan khususnya ketika meraih kejayaan di bidang akademik.

screen-shot-2016-09-21-at-7-17-16-am

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata, “Sebagai contoh, bahasa Iban kini diajar di sekolah, kolej dan universiti. Dan baru-baru ini, Yayasan Kebudayaan Dayak bersama Yayasan Tun Jugah telah menerbitkan kamus Iban-Bahasa Inggeris.”

Menurut Adenan, usaha berkenaan penting dalam mendokumentasikan kosa kata Iban dan memudahkan pembelajaran bahasa itu di kalangan penutur asli dan bukan asli bahasa.

Dalam amanatnya yang dibaca oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam Persidangan Pendidikan Orang Asal Malaysia (MIPCE II) di Sunset Ballrom Damai Beach Resort pada Selasa, Adenan menggesa masyarakat lain di negeri ini turut mengikuti jejak langkah masyarakat Iban mendokumentasikan bahasa dan dialek mereka.

“Dasar pendidikan yang diamalkan di Malaysia adalah bersifat liberal iaitu kaum lain juga diberi peluang untuk mempelajari bahasa ibunda mereka sendiri,” kata Adenan.

Menurut Adenan, dengan menggalakkan pendidikan bahasa ibunda dalam kalangan generasi muda, ia inisiatif yang sangat menggembirakan.

Di Sabah terdapat prasekolah yang mengajar bahasa ibunda dalam kalangan masyarakat Iranun dan Kadazan Dusun.

Sementara, di Semenanjung, bahasa ibunda Semai diajar di kalangan orang Asli.

Manakala, di Sarawak terdapat Bidayuh Heritage Language Playschools and Kindergardens.

“Kita dengar kanak-kanak yang mendapat pendidikan bahasa ibunda dikatakan lebih menonjol serta lebih bersedia memasuki sekolah rendah berbanding rakan mereka yang tidak mempelajari bahasa ibunda,” kata Adenan.

Sehubungan dengan itu, kanak-kanak yang didedahkan dengan pendidikan bahasa ibunda berkeupayaan belajar kemahiran asas dalam bahasa mereka sendiri yang lebih mudah difahami.

“Saya yakin persidangan ini akan menyediakan peluang dan tempat untuk speaker dan ketua masyarakat berkongsi pengalaman, kepayahan dan harapan untuk masa hadapan,” ujar beliau.

“Kita perlu mendengar cerita kejayaan program sekolah yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar.

“Dan kita (juga) perlu mendengar kemenangan dan perjuangan mereka yang perjuangkan diri mereka seperti (dalam) bahasa Iban, Kadazandusun dan Semai ke dalam kurikulum,” kata Adenan.

Persidangan kali kedua ini disertai 282 peserta bertemakan “Membawa Bahasa, Budaya dan Rakyat Bersama” bertujuan memberi kuasa kepada penggunaan ibunda dalam sistem kurikulum. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru