Wednesday, September 22, 2021

Sarawak Rangers: Agi Idup Agi Ngelaban

Mesti baca

Dr Lee Kuok Tiung, UMS
Dr Lee Kuok Tiung, UMS

Penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 secara rasminya telah menyebabkan pasukan Sarawak Rangers terbubar.

Perbarisan pembubaran Sarawak Rangers diketuai oleh Lt. Kol. C.J. Baird pada 15 September 1963.

Begitupun Sarawak Rangers jugalah yang menjadi asas kepada penubuhan Batalion Pertama Rejimen Renjer di Malaysia dikenali sebagai Rejimen Renjer DiRaja (RRD) pada hari ini dan sudah berkembang menjadi 11 batalion.

Jangan ada pihak yang nakal cuba mempertikaikan tulisan ‘Allah’ pada cap badge RRD yang membawa makna patuh kepada Tuhan Yang Masa Esa, Maha Kuasa, Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Cap badge RRD juga mempunyai Dulu Illang yang merupakan parang pancung yang digunakan oleh Dayak.

Cogan kata ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ membawa maksud ‘Selagi ada hayat, selagi itu bersedia berjuang dan berkorban’ dalam Bahasa Iban.

Kepakaran dan kehebatan Iban tracker ini yang digeruni dengan ngayau menyaksikan tentera penjajah British turut menggunakan khidmat kepakaran mereka sejak 1862.

Rekod daripada Colonial Office secara jelas mengiktiraf sumbangan penting Sarawak Rangers sebagai penjejak dalam menentang insurgensi komunis di kawasan hutan tebal yang penuh mencabar di Persekutuan Malaya.

Ini terutamanya dalam tempoh Darurat dari 8 Ogos 1948 sehingga 31 Julai 1960.

Testimoni Pesuruhjaya British ke Malaya, Sir Gerald Templer: –
“The Ibans are the world’s best jungle trackers I have come across. They served the country admirably and I have much respect for them.”
(Tentera Darat 1933-2008, m/s. 8)

sarawak-rangers_0003

Pasukan ini turut membantu tentera Komanwel dalam Konfrontasi Borneo (1963-1966).

Menelusuri sejarah, Sarawak Rangers telah ditubuhkan pada 1862 oleh Raja Putih Ke-2 Sarawak, Charles Anthony Johnson Brooke untuk menjaga sempadan dan menentang pemberontakan. William Henry Rodway (1862; & 1872-1881) dikatakan merupakan pegawai memerintah terawal pasukan tersebut.

Begitupun terdapat sumber yang mendakwa Sarawak Rangers telah wujud pada tahun 1841 sewaktu pemerintahan Raja Brooke yang pertama untuk menangani masalah pemberontakan pada ketika itu.

Sarawak Rangers yang berperanan sebagai pasukan pengaman dilaporkan telah dibubarkan pada tahun 1932 apabila Sarawak kembali aman dan anggota-anggotanya disatukan dengan polis Sarawak menjadi Sarawak Constabulary.

Sewaktu Perang Dunia ke-2, bekas anggota pasukan Sarawak Rangers dilaporkan menyertai Mej. Tom Harnett Harisson dalam pasukan Z Force (Pasukan Khas Z) untuk menentang Jepun.

Sumbangan mereka sepanjang pendudukan Jepun mendorong kerajaan British yang mengambilalih pentadbiran Sarawak daripada keluarga Brooke menghidupkan semula Sarawak Rangers pada 1945.

Tarikh 1 Januari 1953 seumpama suatu pengiktirafan kepada peranan anak watan Sarawak ini apabila kerajaan British secara rasminya menubuhkan pasukan Sarawak Rangers dengan Lt. Kol. C.J. Baird sebagai pegawai pemerintah (CO) pertamanya.

sarawak-rangers_0002

Sarawak Rangers ini kemudiannya diangkat sebagai tentera British pada 1 April 1960 meletakkan mereka sama dengan Briged Gurkha yang boleh dikerahkan ke mana-mana di seluruh dunia.

Perjanjian Pertahanan 1963 (Defence Agreement 63) yang ditandatangani sebagai sebahagian daripada syarat dalam perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia mengkehendaki kerajaan British menubuhkan dua batalion infantri daripada Sarawak dan Sabah untuk Malaysia.

Hasil perjanjian tersebut menyaksikan RRD yang merupakan sebahagian daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada hari ini ditubuhkan oleh British. Rejimen Renjer ini dari tarikh penubuhannya pada 16 September 1963 sehinggalah 4 Oktober 1965 berada di bawah tanggungjawab kerajaan British yang diketuai oleh Kol. I.G. Wellstead.

Upacara penyerahan pasukan Renjer oleh kerajaan British yang diwakili oleh Mej. Jen. H.A. Lascelles kepada Lt. Jen. Hamid Bidin bagi pihak kerajaan Malaysia disempurnakan di Sulvaline, Ipoh pada 4 Oktober 1965.

Penyerahan pasukan Renjer tersebut seiringan dengan pengunduran British dari East of Suez.

Kupasan sepintas lalu ini sebenarnya mendedahkan sejarah ratusan tahun keberanian dan sumbangan wira-wira Dayak dari Sarawak.

sarawak-rangers_0001

Sewajarnya lebih banyak inisiatif harus dilakukan bagi merungkai peranan Sarawak Rangers untuk pengetahuan generasi muda kita.

Lebih banyak usaha juga harus dilakukan untuk memperingati jasa dan pengorbanan anggota Sarawak Rangers termasuk yang terkorban sewaktu dalam perkhidmatan di Semenanjung Malaysia dan Singapura kerana kisah nasib mendiang LKPL Ungkok ak. Jugam sebagaimana yang dilaporkan dalam media sosial tidak seharusnya terjadi. – Sarawakvoice

Nota:
Dapatkan buku “Tentera Darat 1933-2008” suntingan Jen. Tan Sri Raja Mohamed Affandi Bin Raja Mohamed Noor (Ketua Pengarang) terbitan tahun 2008 oleh Markas Tentera Darat (MTD) untuk bacaan lanjut.

 

Secara Rawak

Artikel Terbaru