PRU-14 tentukan hidup mati BN

Kebanyakan faktor kelihatan memihak kepada BN untuk mengadakan pilihan raya umum dalam waktu terdekat. Yang penting sekarang, BN hendaklah menggemblengkan tenaga bagi terus memberi keyakinan kepada rakyat tentang komitmennya untuk membela rakyat.

 BN perlu mengambil iktibar apabila hanya mampu menguasai 140 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang ditandinginya. Kecuali apabila kerajaan sudah yakin faktor yang menyebabkan kekalahan lebih dua tahun lalu itu dibaiki dan keyakinan rakyat sudah pulih, maka barulah ia dapat turun ke gelanggang dengan penuh langkah pasti.

Bagi mengimbas balik, kekalahan BN dalam pilihan raya 8 Mac 2008 berpunca daripada beberapa faktor membabitkan isu ekonomi, keselamatan awam, dan masalah perkauman.

Merdeka Center menjelang akhir 2007 dalam jejak pendapatnya mendapati rakyat meletakkan masalah ekonomi sebagai masalah utama yang membelenggu mereka berbanding masalah lain.

Dalam kajian seterusnya, beberapa hari sebelum PRU ke-12, Merdeka Centre mendapati 34 peratus responden menyatakan ekonomi ialah masalah utama mereka, peningkatan 10 peratus berbanding jejak pendapat sebelumnya.

Masalah ekonomi mengatasi masalah lain, melebihi satu kali ganda, misalnya isu etnik (16%), jenayah (13%), masalah sosial (7%) dan rasuah (2%).

Dalam menangani masalah ekonomi sebagai isu utama yang mencengkam rakyat, 73 peratus responden kurang berpuas hati dengan cara kerajaan menangani masalah terbabit.

Jelaslah, kegagalan kepemimpinan waktu itu untuk menangani isu ekonomi dan kenaikan harga barang yang menjejas teruk kehidupan kebanyakan rakyat ekoran tindakan menaikkan harga minyak beberapa kali.

Kos sara hidup yang meningkat mendadak tidak seiring dengan nilai pendapatan dan kuasa beli rakyat sehingga rakyat resah dan bimbang, dan akhirnya menyalurkan tekanan dan kekecewaan mereka terhadap kerajaan melalui peti undi.  Kos sara hidup dijangka terus menjadi isu utama menjelang PRU ke-14 nanti, selain isu GST.

Tanpa menafikan peranan faktor lain, termasuk imej dan persepsi buruk terhadap kerajaan kerana dikatakan gagal memerangi rasuah dan  isu berkaitan dengan 1MDB dan derma RM2.6 bilion, maka amatlah penting ia menangis wacana dikemukakan oleh pembangkang.

Justeru, apabila mengambil alih kepemimpinan negara pada April 2009, Najib segera mengambil inisiatif untuk membaiki segala kelemahan bagi memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap BN. Najib dilihat komited, serius dan ikhlas dalam menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat sehingga beliau mencetuskan  gagasan 1Malaysia, dengan slogan rakyat didahulukan dan prestasi diutamakan.

Dengan kesedaran demikianlah, maka beliau mengambil pengajaran agar pisang tidak berbuah dua kali.

Langkah konkrit dan pragmatik melalui pendekatan bersepadu membabitkan bidang politik, ekonomi, sosial dan pendidikan terutaman  Program Transformasi Ekonomi (ETP) dirangka seiring dengan dasar lain seperti Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), Bidang keberhasilan Utama Negara (KKRA), Model baru Ekonomi (MBE), RMK-10 dan beberapa lagi dilaksanakan.

Semua itu adalah ke arah membetulkan kepincangan sebelumnya, sekali gus untuk membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat.

Hanya sesudah hasilnya terserlah menjelang tahun 2012, barulah PRU ke-13 diadakan, dengan keyakinan bahawa ia meraih keputusan yang lebih baik daripada 2008. Namun, prestasi BN tidak banyak berubah dalam PRU berkenaan.

 Jadi, adakah benar PRU akan diadakan pada Mac atau April tahun depan? Sudah benar-benar bersediakah BN untuk menghadapi tentangan pembangkang, termasuk parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad?

Kalau tidak, adalah lebih baik untuk Najib tidak tergesa-gesa mengadakan PRU yang akan menentukan hidup matinya masa depan politik beliau dan BN. – Sarawakvoice