Jabatan Hutan S’wak akui sebar “amaran kencing tikus” di Sg Cina, Gunung Gading

0
10

BAU: Semalam, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Jamilah Hashim menafikan pihaknya mengeluarkan “amaran tutup” kepada beberapa pusat rekreasi dan riadah di sini kerana dipercayai berlakunya pencemaran “kencing tikus” tahap jingga.

“Jabatan kami tidak melakukan sebarang pesampelan alam sekitar mahupun menguji kandungan air di kawasan rekreasi.

“Kecuali ia dilakukan oleh jabatan lain yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, itu saya tidak pasti,” kata Dr Jamilah.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, Jabatan Hutan Sarawak mengaku menyebarkan SMS agar orang ramai mengelak melakukan aktiviti air di kawasan Sungai Cina di Matang, Sungai Pulau Ayer di kaki Gunung Gading, Lundu yang mungkin tercemar bakteria Leptospirosis yang menyebabkan penyakit kencing tikus.

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Hutan Sarawak Bahagian Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi, Runi Sylvester  berkata, amaran ini disebarkan sebagai langkah berjaga-jaga selepas pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) mengaitkan gejala jangkitan bakteria tersebut sekembali anak rakannya dari Sungai Cina.

Menurut Runi yang juga Pengerusi dan Ketua Ekspedisi Taman Negara Dered Krian di Bau, beliau telah meminta pihak Unimas dengan kepakaran mereka mengumpul sampel bagi menguji air sungai terbabit selepas melaporkan kebimbangan pada Ahad lepas.

Merasmikan program 21 Hari Ekspedisi Saintifik Dered Taman Negara Krian di Bau yang disertai 55 staf Jabatan Perhutanan Sarawak dan 88 peserta Unimas, Pemangku Timbalan Pengarah Perhutanan I Jack Liam berkata, “buat masa ini, pengarah mencadangkan supaya kita bekerjasama dengan Unimas menyiasat perkara ini.”

Beliau menambah, sekiranya kehadiran bakteria Leptospira disahkan, taman yang berisiko akan ditutup.

Pada Ogos lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, Sarawak mencatat 551 kes Leptospirosis sekali gus menjadi penyumbang tertinggi jumlah kes penyakit kencing tikus itu di negara ini.

Selangor mencatatkan 502 kes dan Kelantan 482 kes.

Manakala, Terengganu 419 kes, diikuti Kedah 205 kes.

Sebanyak 3,212 kes dicatatkan dalam tempoh tersebut yang berkurangan berbanding 5,632 kes yang dicatatkan pada tahun lepas.

Di antara aktiviti yang mendedahkan individu dengan Leptospirosis ialah melakukan aktiviti rekreasi dalam air seperti berenang, berkayak dan berbasikal di denai atau meredah banjir yang tercemar bakteria tersebut.

Selain itu, individu juga mudah dijangkiti sekiranya terdedah kepada peralatan di rumah yang tercemar haiwan peliharaan seperti anjing atau mengambil makanan yang digigit oleh tikus, tupai dan arnab.

Bakteria juga mudah menjangkiti melalui luka, masuk melalui mata, hidung atau mulut.

Gejala paling mudah dikesan akibat jangkitan Leptospirosis ialah pesakit mula demam, menggigil, sakit anggota tubuh dan sakit kepala kemudian ada yang batuk tetapi tidak berkahak.

Terdapat juga pesakit  yang loya, muntah dan cirit-birit, sakit sendi, sakit tulang, sakit tekak dan sakit perut.

Sebahagiannya menghidap radang selaput mata atau mengalami sakit otot, pembesaran limpa atau hati, bengkak salur kelenjar, sakit tekak, otot keras atau ruam.

Pesakit boleh sembuh selepas melalui rawatan awal yang sewajarnya.

Bagi kes yang rumit dan lambat dirawat ia berakhir dengan kematian. – Sarawakvoice