Betulkah, tandas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bukan Tandas Gembira?

0
10

KUCHING: “Tandas Gembira Bandar Raya Gembira” menjadi tema Persidangan Hari Tandas Sedunia anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) pada 27 hingga 29 Oktober depan di Kuching.

Meluahkan perihal tidak puas hati dan rasa kecewanya dengan tahap kebersihan tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mahu Malaysia Aiport Berhad (MAB) menyertai persidangan tersebut!

“Saya tidak gembira dengan keadaan tandas di lapangan terbang kita, kotor, kadang-kadang pili airnya juga tidak boleh dibuka,” katanya.

Abang Johari meminta MAB sentiasa memeriksa semua tandas di LTAK dan semua lapangan terbang negeri ini.

MAB perlu memastikan tandas sentiasa bersih dan dalam keadaan terkawal demi kebaikan semua pihak terutama penumpang yang baharu turun dari kapal terbang.

“Ramai yang tak sempat menggunakan tandas dalam pesawat, jadi mereka bergegas menggunakan tandas awam setibanya di lapangan terbang.

“Jadi, kalau tandas itu tidak bersih, itulah gambaran pertama pelancong terhadap negeri ini,” kata Abang Johari.

Tandas atau bilik air yang bersih, mesra pengguna dan selesa telah menjadi prasyarat kepada sebuah bandar raya yang selesa didiami.

Bandar raya Kuching terkenal sebagai bandar raya bersih di rantau ini menurut pelancong luar, justeru imej tersebut perlu dijaga. – Sarawakvoice