Monday, November 28, 2022

Berlutut dalam politik Islam Pas-Amanah, kini bersiku dengan politik Melayu UMNO-PKR

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa beliau yakin Parti Amanah Negara (Amanah) “melutut” suatu hari nanti mengiktiraf kekuatan Pas disambut tegas Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub.

Salahuddin berkata, “Kalau nak melutut duduk dalam Pas sajalah. Jangan cakap apa-apa. Jangan buat apa-apa. Duduk diam sahaja.

Menurut Salahuddin yang dipetik dari Malaysia Dateline pada Isnin, jika terpaksa melutut mereka tidak perlu menubuhkan Amanah sebelum ini.

Salahuddin menyifatkan Amanah telah berjaya dibuktikan bukan seperti parti serpihan Hamim dan Berjasa.

Mingguan Malaysia melaporkan Hadi berkata, parti sekutu Amanah yang lain ternyata bergantung pada Pas untuk meraih sokongan rakyat memandangkan komitmen tinggi yang ada pada anggota parti Islam berkenaan.

“Kita yakin ahli kita di semua cawangan dan kawasan tetap konsisten, bahkan parti lain bergantung dengan kita, tunggulah suatu hari nanti Amanah akan melutut kepada kita,” kata Hadi.

Sementara, Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional Shazni Munir Mohd Ithnin turut memberi respons kenyataan Hadi.

Bagi Munir, Amanah tidak mudah melutut atau berputus asa memposisikan parti itu sebagai wadah perjuangan Islam dengan visi merealisasikan konsep Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin.

“Kita tidak bersikap mementingkan diri sendiri, apatah lagi ingin ‘melututsikukan’ mana-mana pihak,” tegas Shazni, memetik laporan Malaysia Dateline.

Nampaknya, perbalahan Pas-Amanah berlanjutan sehingga menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang diramalkan berlangsung sekitar suku pertama tahun hadapan.

Bahkan, Pas jelas nekad tidak akan bekerjasama dengan DAP yang dikatakan menjadi punca kumpulan yang membentuk Amanah.

Justeru, masih menjadi persoalan bagaimana Pas dikatakan mahu bekerjasama dalam pilihan raya akan datang memastikan pembangkang akan bersatu menentang Barisan Nasional (BN).

Manakala, adakah pujukan Tun Mahathir yang telah menubuhkan parti baharu beria-ia mengajak Pas untuk bersama, menyebabkan Pas merasakan dirinya benar-benar penting dan menjadi penentu hala tuju keputusan PRU14.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Mustaffa Ali sebelum ini sedar bahawa berdasarkan kajian dan analisis Jabatan Pilihan Raya Pas atau JPP Pusat, pertandingan satu lawan satu adalah cara terbaik menghilangkan kuasa BN.

Sungguhpun begitu, Pas yang dikatakan dominan ketika kuasa pengundi Melayu dilihat berpecah-pecah boleh membuat keputusan 180 darjah yakni dengan bersengkokol dengan UMNO-BN.

Laporan eksklusif akhbar Nanyang Siang Pau mendakwa kini wujudnya persefahaman antara Umno-Pas di Selangor untuk tidak bertembung antara satu sama lain dalam pilihan raya akan datang.

Laporan tersebut juga mendakwa terdapat perjanjian bahawa UMNO hanya akan menentang PKR, manakala PAS pula akan berhadapan Amanah.

Betapapun, Pas juga terkenal sebagai parti yang boleh tahan gimiknya dan berupaya membuat keputusan di luar andaian walaupun hasilnya tidaklah seberapa.

Mungkinkah Pas benar-benar mahu membentuk pakatan ketiga kuasa politik yang akan memperlihatkan pertembungan tiga penjuru dalam PRU14?

Jika ini berlaku, PRU14 akan lebih berwarna-warni, sukar diramal keputusannya dan menjadikan Islam-Melayu semakin berpecah-belah. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru