Tuesday, August 16, 2022

Bagaimana pemimpin politik menunduk rakyat dengan ucapan

Secara Rawak

Sesetengah pihak menganggap janji kosong sekadar retorik.  Retorik seolah-olah dianggap sebagai sesuatu yang negatif.

Benarkah retorik tidak baik? Apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan retorik?  

Dalam konteks ucapan, retorik merupakan seni berpidato dengan tujuan untuk menakluki minda dan jiwa khalayak agar khalayak menerima hujah dan pendapat yang disampaikan.

Pemimpin politik perlu menampilkan kewibawaannya. Kewibawaannya bukan sahaja diukur dari segi penampilan fizikalnya dan gayanya berjalan atau berdepan dengan orang ramai, tetapi cara dia menyampaikan buah fikirannya.

Dengan begitu mencabarnya landskap politik semasa dan masa depan, ahli politik bukan sahaja perlu memiliki kriteria yang menepati kehendak ramai, termasuk berintegriti tinggi, bersih, komited dan gigih, tetapi juga berilmu pengetahuan dan mahir dalam pelbagai bidang.

Sebagai individu yang banyak berdepan dengan orang ramai dan sentiasa bergelut dengan pelbagai isu dan cabaran, antara kriteria penting yang perlu dimiliki pemimpin politik ialah pemikiran kritis dan analitis dan keupayaan berhujah.

Pemimpin politik, tidak kira kerajaan atau pembangkang,  perlu menyampaikan buah fikirannya, baik dalam sidang media, ketika diwawancara wartawan di kaca televisyen atau corong radio.

Namun, keupayaan dan kewibawaan pemimpin politik sering dinilai ketika menyampaikan ucapan.

Pemimpin politik tidak dapat lari daripada menyampaikan ucapan. Dia sering diundang ke pelbagai majlis dan dalam majlis terbabit individu daripada pelbagai latar belakang mendengar ucapannya. Jika tidak pun, pemimpin politik perlu berhujah dengan lawan.

Hari ini pemimpin BN berdepan dengan suasana politik yang kian mencabar. Tidak mudah bagi pemimpin politik untuk meyakinkan rakyat, lebih-lebih lagi sudah diakui oleh Perdana Menteri sendiri, zaman kerajaan atau pemimpin politik tahu segalanya sudah berakhir.

Bagaimanakah pemimpin politik dapat meyakinkan rakyat yang kritis dan berilmu jika dia tidak dapat berhujah dengan baik. Sikap kritis dan kemahiran berhujah dengan mengemukakan wacana atau wacana tandingan yang meyakinkan amat diperlukan.

Justeru, kemahiran beretorik amat penting dikuasai bagi memastikan idea, alasan dan hujah dapat disampaikan dengan berkesan.

Jan Zamoiski menyatakan bahawa retorik tidak lebih sebagai alasan yang disampaikan dengan meyakinkan dan hujah yang disusun dengan teratur.

Mengikut Plato retorik merupakan seni menguasai dan mengawal minda khalayak. Yang ditekankan adalah cara bahasa sebagai alat komunikasi digunakan untuk mempengaruhi khalayak, iaitu mengubah pendirian dan kepercayaan, sikap atau perlakuan mereka.

Strategi retorik amat penting bagi menentukan kejayaan pemimpin atau calon pemimpin dalam mencapai matlamat atau agendanya.

Justeru, kekuatan dan kemahiran berpidato atau berucap amat penting bagi pemimpin untuk menyampaikan idea, visi atau pembaharuan yang cuba dilaksanakannya demi mempengaruhi rakyat.  

Ucapan tanpa retorik tidak akan meninggalkan kesan yang ampuh.

Ucapan yang baik perlu mengambil kira sekurang-kurangnya dua elemen utama, iaitu alat untuk mendukung hujah dan juga cara alat dan hujah disampaikan agar dapat meyakinkan dan seterusnya mempengaruhi khalayak. Jawapannya tidak lain daripada teknik retorik.

Aristotle mengemukakan tiga cara untuk mempengaruhi khalayak dengan menggunakan kata-kata sebagai alat pengucapan.

Pertama,  pemidato hendaklah menyatakan kepada khalayaknya bahawa dia berpengalaman luas tentang perkara yang diperkatakan, seorang yang jujur dan dapat dipercayai, serta mempunyai reputasi sebagai individu yang terhormat.

Kedua, pemidato perlu mempengaruhi khalayak dengan menyentuh hati mereka dengan membangkitkan emosi  dan perasaan marah, kasih, simpati, haparan, semangat ingin berjuang atau melawan, dan sebagainya mereka.

Ketiga, pemidato perlu mempengaruhi khalayak dengan membentangkan hujah atau bukti. Dengan itu, pemidato akan dapat mengubah dan menggerakkan hati dan fikiran khalayak supaya berkongsi pandangan dengannya melalui retorik yang berstruktur, iaitu memiliki pengenalan, tubuh dan penutup yang memperlihatkan kesatuan, kesinambungan, dan pertautan yang rapi.

Walau bagaimanapun, pemimpin politik seharusnya ingat betapa pentingnya bahasa tubuh yang sesuai diberi perhatian ketika menyampaikan ucapan, daripada sentuhan dan pergerakan mata, lirikan senyuman, pergerakan tangan, dan sebagainya, selain tentunya cara dia memanipulasikan suara, termasuk aspek kenyaringan, nada, kecepatan dan tekanan.

Retorik merupakan eleman penting dalam ucapan. Pemimpin politik yang tidak menggunakan teknik retorik  akan menyebabkan ucapan membosankan dan tidak meninggalkan kesan yang diharapkan.

Pemimpin politik kita perlu belajar antara lain daripada Obama, Sukarno, Martin Luther King.

Pemimpin politik yang tidak pandai berucap tidak akan pergi jauh, lebih-lebih lagi dalam keadaan landskap politik yang mencabar. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru