Thursday, September 29, 2022

Azmin memilih tindakan undang-undang, bukan pilihan raya negeri mengejut

Secara Rawak

SHAH ALAM: Daripada mengadakan pilihan raya negeri mengejut, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali memilih tindakan undang-undang diambil terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Penasihat DAP Lim Kit Siang mencadangkan diadakan pilihan raya mengejut bagi memintas langkah SPR melaksanakan proses persempadanan semula yang disifatkan banyak pihak menguntungkan Barisan Nasional tetapi tuduhan berkenaan dinafikan pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

Bagi Azmin langkah berkenaan tidak perlu kerana mandat yang diberikan oleh rakyat Selangor pada 2013 adalah besar.

“Saya tak boleh khianati mandat yang diberi rakyat,” katanya sambil menambah pilihan raya negeri tidak perlu diadakan.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata, parti itu bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap SPR.

Menurut beliau, daripada cadangan yang dikemukakan SPR jelas bahawa ia tidak memberi jaminan terhadap hak demokrasi rakyat di negara ini.

Azmin berkata beliau akan berbincang dengan para peguam unruk mengkaji sama ada terdapat asas untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Ujarnya, pengundi mempunyai hak untuk mencabar langkah SPR itu.

Kini cadangan SPR sedang dipamerkan untuk orang ramai sehingga 4 Oktober.

Hakikatnya, sebarang cadangan untuk meluluskan kerusi parlimen baharu perlu sokongan dan kelulusan sekurang-kurangnya dua per tiga Ahli Parlimen, iaitu 148 daripada 222 orang.

Namun hanya majoriti mudah diperlukan untuk meluluskan kerusi baharu negeri atau persempadanan semula kerusi negeri atau parlimen.

Ketika ini BN mempunyai 134 Ahli Parlimen — 14 kerusi kurang daripada keperluan minimum 148 yang diperlukan bagi mewujudkan sebarang cadangan mewujudkan kerusi Parlimen baharu.

Menurut Hashim, proses persempadanan semula dilakukan SPR selaras dengan perlembagaan negara, dan tuduhan bahawa ia bertujuan memberi kelebihan kepada parti tertentu adalah tidak benar.

Kata pengerusi SPR itu, kuasa meluluskan cadangan itu terletak di bawah bidang kuasa Dewan Rakyat dan setiap Ahli Parlimen dapat membahasnya apabila dibentangkan nanti.

Di bawah cadangan itu, 12 kerusi parlimen bakal menyaksikan perubahan nama di Semenanjung dan 13 kerusi baharu bakal diwujudkan di Sabah.

SPR sepatutnya mengadakan proses berkenaan pada 2011 tetapi terpaksa ditangguhkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru