Hutang yuran RM4.5 juta: Masalah pelajar Malaysia di Mesir dapat perhatian

0
5

KUALA LUMPUR: Rombongan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datuk Kamel Mohamed akan mengesahkan maklumat pelajar di Mesir yang dilaporkan menanggung hutang yuran mencecah RM4.5 juta.

Kementerian tersebut berkata, rombongan itu akan mendapat gambaran penuh isu dihadapi  150 pelajar Malaysia  yang mengikuti jurusan perubatan, pergigian dan farmasi di Mesir.

Pelajar terbabit mendakwa bakal disingkir ekoran menanggung hutang yuran berjumlah RM4.5 juta.

“Kami harap universiti mereka dapat menyelaraskan kadar hutang ditanggung pelajar berkenaan dengan segera. Kementerian akan terus memberi maklum balas,” kata kenyataan itu.

Mereka terbabit dilaporkan bergantung sepenuhnya kepada keluarga untuk membayar yuran pengajian serta menampung kos sara hidup kerana tidak memperoleh tajaan atau pembiayaan pendidikan sepanjang tempoh pembelajaran di negara itu.

Sementara itu, Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (Ilham)  mengambil maklum bahawa isu  melibatkan mahasiswa yang menyambung pengajian melalui ejen-ejen swasta.

Ilham melalui satu kenyataan  menyeru kepada ejen-ejen swasta yang terbabit untuk mengambil maklum dan bertanggungjawab terhadap mahasiswa kendalian mereka.

Dalam hal berkaitan, Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (Perubatan) sebelum ini merayu pihak kerajaan supaya membantu meringankan beban kumpulan pelajar berkenaan yang sedang menuntut di lapan universiti di Mesir. (Ilham) mengambil maklum isu yang dibangkitkan.

Kerajaan Malaysia menguruskan urusan kemasukan para pelajar ke Mesir melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Para pelajar ini sebahagian besarnya menyambung pengajian di Mesir dengan kelayakan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Presidennya, Syed Abdul Kadir Aljoofre berkata,  Ilham bersedia untuk bekerjasama dengan persatuan-persatuan pelajar di Mesir bagi membuat penilaian dan menyampaikan bantuan kepada mana-mana mahasiswa perubatan atau pengajian Islam yang benar-benar memerlukan bantuan.

“Ilham juga menyeru semua pihak membantu dan bekerjasama untuk terus prihatin terhadap isu mahasiswa Mesir ini, bukan sahaja pelajar Perubatan tetapi juga mahasiswa Pengajian Islam yang kurang berkemampuan untuk menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat di Mesir akhir-akhir ini,” ujarnya

“Semoga Allah mempermudahkan urusan mahasiswa kita di Mesir khususnya yang tidak menerima sebarang bantuan kewangan mahupun pinjaman daripada kerajaan, GLC mahupun pusat zakat di Malaysia,” katanya.

Sumbangan dan bantuan kewangan boleh disalurkan ke akaun Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) Maybank (5621-0663-6662) atau boleh menghubungi Exco Kebajikan ILMAM, Ustaz Nik Rosdi Nik Jusoh di talian 018-2657877. – Sarawakvoice