Saturday, May 21, 2022

APM guna drone kesan lelaki hilang di Kampung Pinang, tidak tolak andaian serangan buaya

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Misi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki dari Kampung Pinang dekat sini yang hilang di Sungai Kampung Pinang dekat sini diteruskan pagi tadi untuk hari ketiga.

Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Bahagian Samarahan, Ahmad Shahfikri Darus, usaha pencarian melibatkan pasukan penyelamat daripada APM, Bomba dan Penyelamat serta polis.

“Setakat ini kita melakukan pencarian menggunakan ‘surface searching’ memandangkan sungai ini memiliki populasi buaya yang agak banyak.

“Malah pasukan SAR beberapa kali terserempak dan terlanggar reptilia itu dalam gerakan operasi ini.

Jelasnya, bermula pagi ini, pihaknya akan menggunakan teknologi drone untuk membolehkan penjejakan dilakukan secara lebih meluas dan mudah.

“Kita percaya, proses pengesanan akan menjadi lebih efektif berdasarkan pengalaman sebelum ini.

Jelas Shahfikri, berdasarkan petunjuk-petunjuk yang diperolehi, pihaknya tidak menolak lelaki ini berhadapan dengan ancaman buaya.

“Kebetulan ia berlaku tidak jauh dari lokasi seorang lelaki berusia 19 tahun yang menjadi mangsa reptilia itu di Kampung Baru, dekat sini.

Sehubungan itu, kata Shahfikri, beliau telah meminta para anggotanya yang terlibat menggandakan kewaspadaan dan meningkatkan keselamatan.

Dalam kejadian pada Jumaat lalu, Ismandi Osman, 38 tahun dari Kampung Pinang dekat sini didapati hilang ketika memeriksa pukat yang dipasangnya di sungai tersebut sehari sebelumnya.

Pencarian penduduk kampung kemudian berjaya menjumpai bot mangsa sekitar jam 7 malam dengan barang keperluan seperti parang, botol air dan rokok masih ada, serta keadaan enjin bot baik.

Mangsa dipercayai memakai pakaian terakhir berwarna coklat dan berseluar sukan berwarna hitam.

Sehingga jam 12 tengah hari ini, pencarian masih diteruskan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru