Sunday, November 27, 2022

Perjalanan akhir jenazah Haron Din ke tanah perkuburan Islam Five Pillars, California

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Anak perempuan Allahyarham Datuk Dr Haron Din berkongsi suasana pilu perjalanan akhirnya bersama jasad Mursyidul Am Pas itu ketika menuju ke  persemadian akhir ayahnya yang dipanggil Baba itu.

Menurut Dr Huda, beliau melihat seakan-akan mereka bukan di bumi California, Amerika Syarikat.

haron-din-5-pillar-0003

Sebaliknya sepanjang perjalanan mendekati lokasi tanah perkuburan bagaikan mengimbas kembali kenangan mereka bersama sewaktu menikmati keindahan Bukit Uhud, Madinah.

“Baba, ini kali terakhir kita berjalan bersama di alam ini Ba. Indah sungguh pemandangan di kiri dan kanan menuju ke tempat rehat Baba. ALLAH pilih di sini, Ba.

“Persis memori tika menikmati keindahan Bukit Uhud. Seolah-olah bukan di bumi California. Seakan kami di bumi Anbiya’,” katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Khatijah Salleh dan lima cahaya mata.

Sebelum itu, Hamdi, anak lelaki beliau dalam satu mesej Facebook berkata: “Baba akan disemadikan di California. Kami ada beberapa pilihan termasuk pilihan untuk membawa baba balik ke Malaysia. Semua pilihan ada pros & kons. Kami berbincang dan menimbang semua pros & kons. Bukan mudah untuk kami membuat keputusan. Hati amat berat.”

“Kami memilih untuk menguruskan jenazah baba dengan sempurna dan cepat. Baba berpesan beberapa kali kepada kami bahawa di mana dia menghembus nafas terakhir, di situ dia bersemadi. Maka kami akan kebumikan baba di California,” katanya.

Setibanya di lokasi, beliau menyifatkan suasana di kawasan itu damai, indah dan tenang.

Dr Huda sempat mengucapkan terima kasih atas bantuan semua pihak dalam menyempurnakan urusan pengebumian jasad arwah bapanya itu tanpa soal jawab.

Dr Huda tersentuh dengan penerimaan yang diberi kepada mereka sekeluarga.

“Berebut-rebut jemaah dan memeluk dan menyantuni takziah kepada kami. Terpana. Tidak sangka.

“Tidak pernah bersua. Tidak pernah bersapa. Tidak kenal siapa. Cuma ukhuwah fillah. Hangatnya persaudaraan di sini,” katanya.

Solat jenazah diadakan di Masjid Muslim Community Association telah selesai jam 5.30 pagi tadi waktu Malaysia.

Jenazah tokoh agama terbilang itu telah disemadikan di tanah perkuburan Islam  Five Pillars Farm Livermore.

Urusan pengebumian jenazah Allahyarham selesai kira-kira jam 6 petang waktu California (kira-kira 9 pagi waktu Malaysia).

Allahyarham meninggal dunia jam 10.05 pagi semalam pada usia 76 tahun di Hospital Stanford University Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung yang kritikal. – Sarawakvoice

BACA JUGA: Gambar-gambar pengebumian jenazah Haron Din di California

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru