Monday, December 5, 2022

Penubuhan Malaysia selamatkan Sarawak daripada cengkaman komunis dan konfrontasi Sukarno – Tok Nan

Secara Rawak

BINTULU: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata, keputusan untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia adalah keputusan bijak oleh pimpinan terdahulu.

Menurutnya, biarpun tidak semua janji waktu penubuhan Malaysia itu dipenuhi namun kebanyakannya telah dilaksanakan.

screen-shot-2016-09-17-at-9-50-43-am

“Memang banyak lagi yang perlu dilakukan untuk Sarawak dan Sabah bagi menyaingi negeri-negeri lain di Semenanjung, namun kita tidak boleh nafikan wujudnya pembangunan fizikal , pendidikan dan lain-lain lagi. Hanya mungkin ia berlaku dengan agak perlahan,” katanya lagi dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia di tapak Lapangan Terbang Bintulu Lama dekat sini malam tadi.

Katanya, keputusan Sarawak untuk sama-sama membentuk Malaysia adalah disebabkan oleh soal keselamatan.

“Pada tahun 1962-63, Sarawak di bawah ancaman komunis. Mereka mahu mengambil alih Malaya, dan juga mengambil alih Sabah dan Sarawak.

“Partai Komunis Indonesia di bawah pimpinan Aidit sedang memberi perhatian kepada negeri-negeri di Borneo ketika itu.

Sarawak ketika itu katanya, tidak mempunyai tenteranya sendiri dan hanya memiliki pasukan polis dan Sarawak Ranger.

“Apabila Sukarno melancarkan konfrontasi Ganyang Malaysia dan mengancam kita, Parti Komunis Malaya di bawah Chin Peng juga mengancam kita, siapa datang membantu kita pada waktu itu?

“Ia tidak lain tidak bukan, saudara-saudara kita dari Malaysia Barat.

“Siapa berjuang untuk kita? Dan mati untuk kita? Tidak lain tidak bukan Rejimen Askar Melayu, Renjer Malaysia dan sebagainya, termasuk pasukan tentera Komanwel.

“Mereka datang membantu dan menyelamatkan kita daripada ancaman komunis dan ancaman konfrontasi Indonesia,” tegasnya.

Katanya, rakyat seluruhnya perlu mengimbas kembali sejarah penting ini dan bukannya hanya melihat dari sudut yang negatif.

“Belajarlah dari sejarah agar kita dapat lebih menghargai dan sentiasa memandang ke hadapan,” katanya lagi.

Pada majlis tersebut, beliau berterima kasih dan meminta rakyat terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang selama ini sentiasa bersimpati dan memahami situasi yang berlaku di negeri Sarawak.

“Beliau mahu pembangunan di Sarawak dan Sabah seiring dengan negeri-negeri lain di negara ini.

“Berilah beliau peluang, dan beliau akan memenuhinya,” tegas Adenan lagi.

Bertemakan ‘Sehati Sejiwa’, ini adalah kali kedua Bintulu dipilih sebagai tuan rumah Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan selepas kali pertama pada tahun 2012.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, yang juga salah seorang daripada anggota Kabinet Sarawak pada tahun 1963 yang masih hidup. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru