Thursday, September 29, 2022

Culik tiga nelayan: Polis terima panggilan telefon

Secara Rawak

KOTA KINABALU:  Polis mengakui satu panggilan telefon diterima berkaitan kes penculikan tiga anak kapal nelayan di perairan Pulau Pom Pom berhampiran Semporna, Sabtu lalu.

Namun, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun enggan mengulas butiran lanjut berhubung panggilan telefon itu, namun berkata, pihaknya sedang menyiasat kesahihan panggilan itu.

“Memang ada panggilan telefon. Tetapi biarlah kita (polis) menyiasat dahulu kesahihan panggilan tersebut, sama ada ia betul-betul daripada penculik atau orang yang mahu mengambil kesempatan,” katanya selepas sambutan Hari Malaysia peringkat Sabah di sini, semalam.

Abdul Rashid berkata beliau difahamkan semua mangsa dalam keadaan selamat dan polis akan terus menyiasat kes berkenaan.

Tiga anak kapal nelayan itu dikenali sebagai Loloi Alpin, 30, Sami, 30-an, dan Masurin, 50-an masing-masing warga Filipina tetapi memiliki dokumen IMM13 dan Surat Banci daripada Pasukan Petugas Khas.

Dalam kejadian pada 10.40 malam itu, tujuh lelaki bersenjatakan pistol dan M16 menculik mangsa ketika menangkap ikan bersama-sama 13 lagi anak kapal di perairan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dipetik sebagai berkata, tiga anak kapal nelayan yang diculik itu dipercayai didalangi kumpulan penculik bagi mendapatkan tebusan.

Abdul Rashid menyatakan kekesalannya kerana kebanyakan bot nelayan di perairan Sabah tidak memasang Sistem Pengesanan Automatik (AIS) bagi membolehkan mereka berkomunikasi dengan pihak berkuasa. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru