Tuesday, October 4, 2022

Serpihan flaperon di Tanzania sah milik MH370 – Tiong Lai

Secara Rawak

SEPANG: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam mengesahkan bahawa serpihan pesawat Boeing 777 yang ditemui di perairan Tanzania pada Jun lalu adalah milik MH370.

flaperon_3391981b underside-from-outboard-edge

Menurutnya pengesahan ini dilakukan sekumpulan pakar daripada Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) dengan pemeriksaan pada nombor siri dan tarikh pengilangan serpihan tersebut, didapati sepadan dengan enjin pesawat Malaysia Airlines itu.

“Berdasarkan pemeriksaan dan analisis menyeluruh, ATSB dengan persetujuan Pasukan Penyiasat Keselamatan MH370 mengenal pasti beberapa penemuan termasuk beberapa nombor bahagian serta rupa bentuk fizikal, dimensi dan pembinaan, yang disahkan serpihan seksyen dalam pesawat bagi flaperon Boeing 777,” katanya ketika ditemui media di hangar Sepang Aircraft Engineering berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dekat sini semalam, untuk menerima pesawat terkini AirAsia, Airbus A320neo.

Mengulas lanjut, Tiong Lai berkata, tarikh yang dicap berkait pada salah satu daripada bahagian pesawat itu menyatakan bahawa pengeluaran adalah pada 23 Januari 2002, dan ia konsisten dengan tarikh penghantaran bagi MH370 pada 31 Mei 2002.

“Sebagai tambahan kepada nombor bahagian Boeing, semua penanda identifikasi mempunyai nombor ‘OL’ kedua, yang bertujuan untuk identiti unik unik berkaitan pembinaan bahagian (pesawat),” lanjutnya dalam satu kenyataan kemudiannya.

Tiong Lai berkata, pengeluar bahagian pesawat dari Itali bahkan turut mengesahkan semua nombor pada bahagian berkenaan mempunyai kaitan dengan nombor siri yang sama bagi flaperon yang dihantar kepada Boeing sebagai nombor jajaran 404.

“Pengeluar turut mengesahkan jajaran nombor pesawat 404 dihantar kepada Malaysia Airlines yang didaftarkan sebagai 9M-MRO (MH370).

“Pakar kemudian merumuskan yang serpihan iaitu flaperon luar adalah berasal daripada pesawat 9M-MRO, yang juga dikenali sebagai MH370.”

Menurutnya lagi, pemeriksaan susulan ke atas serpihan itu akan diteruskan supaya bukti lanjutan diperoleh yang mungkin memberi petunjuk baharu kepada apa yang berlaku kepada MH370.

“Pasukan siasatan akan memfokus kepada butiran lain dan mengkaji bagaimana kemalangan itu berlaku, dan memastikan insiden ini berlaku secara terkawal atau tidak terkawa,” katanya.

Serpihan flaperon pesawat itu ditemui pada akhir Jun lalu di Pulau Pemba, Tanzania, iaitu di Lautan Hindi. Ia kemudian dihantar ke Australia untuk untuk dianalisis.

Sebelum ini, beberapa serpihan pesawat yang dikaitkan dengan MH370 ditemui sejak setahun lalu, namun hanya bahagian flaperon yang ditemui di Pulau Reunion, Perancis disahkan sebagai 100 peratus milik pesawat malang itu.

Pesawat MH370 sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing pada 8 Mac 2014 sebelum dilaporkan hilang dari radar.

Dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, pesawat yang dikemudi oleh juruterbang Kapren Zaharie Ahmad Shah ghaib pada jam 1.22 pagi, dengan hubungan terakhir dengan pusat kawalan udara berlaku tiga minit sebelum itu, selepas mereka melepasi Laut China Selatan.

Ia merupakan tragedi udara kedua terbesar yang dialami oleh Malaysia Airlines dan juga yang kedua terbesar dalam sejarah Boeing 777. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru