KUCHING: Survival Persekutuan Malaysia pada masa depan banyak bergantung kepada hubungan stabil antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia dan sejauh mana aspirasi rakyat di kedua-dua negeri berkenaan dapat dipenuhi oleh kerajaan persekutuan, sesuai dengan yang terkandung dalam Perjanjian 20/18 Perkara,.

Dengan tuntutan “Sarawak for Sarawakian” dan “Sabah for Sabahan” yang semakin nyaring kebelakangan ini, usaha untuk mengeratkan hubungan entiti politik terbabit memerlukan keazaman politik yang kental dan persefahaman yang jitu antara pemimpin negeri dan persekutuan.

“Bagi melangkah ke hadapan, masalah yang sekian lama terpendam dan tidak berjaya diselesaikan sepenuhnya sebelum ini, termasuk membabitkan Perjanjian 18 Perkara dan 20 Perkara, perlu ditangani dengan bijaksana,”kata seorang penganalisis politik.

Perjanjian 18/20 Perkara yang sepatutnya melindungi hak-hak Sarawak dan Sabah tetapi telah banyak mencetuskan perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat di kedua-dua negeri, perlu ditangani dengan bijaksana dan penuh pengertian dan persefahaman oleh kerajaan persekutuan, lebih-lebih lagi kini survival kerajaan Barisan Nasional banyak bergantung kepada kemenangan di negeri terbabit.

“Perkara berkenaan tidak seharusnya menjadi duri dalam daging dan menimbulkan keretakan,” katanya.

Namun, ujarnya, sebagai sebuah persekutuan, kedua-dua pihak perlu saling memahami dan bertolak ansur dengan tidak terlalu mengutamakan kepentingan kenegerian.

“Semangat kenegerian dan kewilayahan yang sempit perlu dikikiskan jika kita ingin membina sebuah negara bangsa, dan memastikan tidak berlaku perpecahan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, katanya, integrasi nasional perlu disemarakkan, manakala  semangat kenegerian dan nasionalisme negeri yang melampau patut dibendung.

“Pemikiran dan sentimen negatif berkaitan kerajaan persekutuan perlu dikikiskan, dan semangat kenegerian yang keterlaluan diketepikan,” katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan persekutuan perlu memahami aspirasi dan tuntutan munasabah sesuai dengan aspirasi dan perjanjian berkaitan yang telah dipersetujui oleh pemimpin terdahulu.

“Kita tidak boleh membiarkan satu negara dalam sebuah negara,” tegasnya sambil menambah usaha untuk memantapkan integrasi nasional dan proses politik federalisme akan berdepan kesukaran dan kerumitan jika isu berkaitan tidak ditangani dengan bijaksana.

Dalam hubungan ini, kerajaan persekutuan dapat mengurangkan kegelisahan rakyat di Sabah dan Sarawak dengan mengurangkan penguasaan melampau kerajaan pusat terhadap negeri, selain memenuhi hak dan tuntutannya yang munasabah. – Sarawakvoice