Uggah berikrar pastikan tiada pelajar Dayak tolak tawaran masuk universiti hanya kerana miskin

0
3

KUCHING: Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) akan memastikan tiada pelajar Dayak yang menolak tawaran untuk belajar ke peringkat tinggi semata-mata hanya kerana faktor kemiskinan.

Mengambil tanggungjawab menggalas kepentingan kaum Dayak, DCF sedia menghulurkan tangan untuk membantu pelajar Dayak miskin melanjutkan pendidikan ke peringkat tinggi.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah berkata mereka yang telah mendapat surat tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti seharusnya tidak memberi alasan kemiskinan sebagai faktor penghalang masa depan mereka.

Uggah yang juga pengerusi DCF berikrar memastikan tiada pelajar Dayak tercicir melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi semata-mata hanya kerana faktor kemiskinan.

Menerima kunjungan anggota jawatankuasa Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) pada Rabu, Uggah berkata DCF sedia membantu pelajar miskin yang mendapat surat tawaran melanjutkan pelajaran peringkat tinggi.

SDGA dalam taklimatnya menjelaskan mereka menjalankan program pendidikan bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan awam PT3, SPM dan STPM.

SDGA juga bakal menganjurkan Bengkel Mahkamah Anak Negeri pada 12 November dan Majlis Makan Malam Perpaduan Dayak pada 4 Disember depan. – Sarawakvoice