Len gesa letak peranan golongan penyelidik setanding doktor

0
2

KUCHING: Golongan penyelidik seharusnya mendapat layanan istimewa setanding bidang profesional lain seperti kerjaya kedoktoran.

Bahkan, layanan baik harus diberikan seperti menyediakan belanjawan kewangan besar kepada kumpulan penyelidik untuk membiayai aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan oleh mereka.

datu-haji-len-talif-sallehMenurut Menteri Muda Alam Sekitar dan Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Tenaga Kerja dan Latihan), Datu Haji Len Talif Salleh, ramai pihak menyuarakan kepentingan bidang penyelidikan dan pembangunan ini, tetapi layanan mereka terhadap golongan penyelidik adalah sebaliknya.

“Mereka yang terbabit menjalankan penyelidikan masih terus dilayan seperti orang biasa sahaja, tanpa diberikan keistimewa, insentif dan sebagainya.

Bercakap merasmikan Persidangan Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan 2016 (NRICon 2016) anjuran Politeknik Kuching di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce pada Rabu, Len berkata, “sama ada agensi kerajaan, sektor swasta atau universiti, masih ramai meletakkan penyelidikan dan pembangunan dalam belanjawan kewangan sebagai perkara yang diberikan keutamaan terendah.”

Len mencadangkan agar ditubuhkan institusi khusus di negara ini yang boleh menghubungkan penyelidik dari semua universiti tempatan bagi membolehkan mereka menjalankan penyelidikan bersama dalam semua jenis bidang.

Bagi Len, institusi sedemikian sudah diwujudkan di Australia dengan kumpulan penyelidik bekerjasama baik dengan pihak industri.

Malah, melalui pengalaman sendiri sebelum ini, Len mendedahkan beliau berpeluang menjalankan penyelidikan bersama penyelidik terkemuka di Australia. – Sarawakvoice