Kes pertama positif zika di Miri, jangan panik!

0
2

KUCHING: Rakyat diingatkan jangan panik apabila disahkan terdapat kes pertama positif zika di Miri sejak 11 September lepas.

Masyarakat seharus memperhebat usaha menjaga kebersihan dengan memusnahkan tempat berpotensi pembiakan nyamuk aedes di dalam dan persekitaran rumah serta mengelak diri daripada gigitan nyamuk.

Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr. Sim Kui Hian berkata, “nyamuk Aedes ini bukan saja membawa virus Zika, malah virus Chikungunya.

“Oleh itu, semua orang mesti serius membanteras nyamuk dalam kawasan rumah atau sekitar dengan melakukan pembersihan.

Tegas Sim, membanteras nyamuk aedes adalah usaha bersama, bukan persendirian kerana aedes tidak memilih mangsa.

Bagi yang menghidapi tanda seperti demam, mata merah dan ruam di badan, mereka perlu segera ke klinik atau hospital untuk mendapat rawatan awal, mengelak sebarang kemungkinan dijangkiti virus Zika atau virus lain.

Nyamuk aedes dikenal pasti aktif 5 pagi hingga 7 pagi dan dari 5 petang hingga 7 malam.

Bercakap pada sidang media Dewan Undangan Negeri (DUN) Baru, Sim berkata mangsa yang menghidap zika di Hospital Umum Miri dilaporkan stabil dan tidak memerlukan sokongan rawatan rapi.

Sim berkata, kes kelima negara yang melibatkan wanita Miri, berusia 35 tahun dan mengandung dua bulan itu, sebelum ini pernah bekerja di Singapura.

Kata Sim, “semua enam ahli keluarga yang tinggal bersamanya setakat ini tiada menunjukkan simptom atau gejala jangkitan Zika.”

Menurut Sim, selepas disahkan positif zika, Pejabat Kesihatan Miri menjalankan saringan ke atas 156 daripada 590 penduduk yang tinggal dalam lingkungan garis pusat 200 meter dari rumah pesakit.

Bagaimanapun, tiada seorang pun daripada mereka menunjukkan tanda dan gejala jangkitan zika.

Sungguhpun begitu, pihak kesihatan memeriksa 61 premis berhampiran dan mendapati terdapat tempat berpotensi bagi pembiakan aedes.

Menurut Sim, langkah kawalan diteruskan meliputi kawasan lingkungan 400 meter daripada rumah mangsa.

Ujar Sim lagi, “semburan asap pertama diadakan pada 11 September meliputi 118 premis.

“Semburan Ultra Low Volume (ULV) juga diadakan pada hari yang sama meliputi 190 premis dalam lingkungan 200 meter daripada rumah kes,” katanya. – Sarawakvoice