Saturday, December 3, 2022

Pemaju beri pinjaman: Noh Omar jelaskan kepada Kabinet hari ini

Secara Rawak

TANJONG KARANG: Tan Sri Noh Omar menyatakan cadangan supaya pemaju perumahan diberikan lesen pemberi pinjaman kepada pembeli rumah akan dijelaskan kepada Kabinet pada Rabu.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan  berkata, perkara itu akan dibawa kepada mesyuarat Kabinet bagi menjelaskan rasional di sebalik cadangan itu.

“Terpulang kepada Kabinet untuk membuat keputusan mengenai perkara itu,” katanya pada majlis Hari Raya Haji di Pusat Khidmat Adun Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak pada Selasa.

Beliau berkata, perbincangan akan ditumpukan sama ada pemaju boleh memberi pinjaman kepada pembeli hartanah yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman bank selepas diberi lesen berkenaan.

Lesen itu dikeluarkan kementeriannya di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang (Pindaan 2011).

Beliau berkata pinjaman juga bertujuan untuk membantu mereka yang menghadapi kesukaran membuat bayaran pendahuluan.

Pada Khamis lalu, Noh berkata, pemaju perumahan yang berkelayakan boleh memohon lesen peminjam wang bagi memberikan pinjaman sehingga 100 peratus kepada pembeli hartanah.

Namun, cadangan itu mendapat kritikan pelbagai pihak kerana dipercayai membebankan peminjam.

Difahamkan, pemaju yang memberi pinjaman akan mengenakan kadar bunga 12 hingga 18 peratus.

Noh berkata, cadangan itu bukan sesuatu yang baharu kerana sudah ada beberapa pemaju yang menyediakan kemudahan seperti ini pada masa lalu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru