Saturday, May 21, 2022

Paralimpik Rio: DAP cadang usul tahniah kepada tiga wira negara

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: DAP mencadangkan satu usul tahniah dan penghargaan di Dewan Rakyat sebagai penghargaan terhadap wira negara yang merangkul pingat emas di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro,

Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Anthony Loke Siew Fook berkata pengiktirafan  berkenaan perlu diberi memandangkan cabaran getir yang telah ditempuhi atlet negara yang memerlukan usaha dan kesabaran yang berlipat ganda berbanding atlet-atlet biasa.

“DAP merakamkan setinggi-tinggi tahniah terhadap tiga wira negara iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly yang berjaya merangkul tiga pingat emas sekali gus dalam acara masing-masing di temasya Paralimpik Rio de Janeiro,” katanya seperti dipetik roketkini.

Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi meraih pingat emas pertama untuk negara melalui acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy) dengan catatan 12.07 saat.

Muhammad Ziyad Zolkefli pula merangkul emas acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) dengan lontaran sejauh 16.84 meter, sekali gus mencipta rekod baharu dunia.

Abdul Latif , menghadiahkan pingat emas ketiga negara dan memecahkan rekod dunia apabila menewaskan pesaingnya yang lain dalam acara lompat jauh kategori T20 (kurang upaya intelektual), dengan catatan 7.60 meter (m) dalam lompatan kelima.

Bagi pihak DAP, kata Anthony, beliau akan mencadangkan usul tahniah dan penghargaan kepada semua wira negara yang mengharumkan nama negara di temasya Paralimpik dan Olimpik Rio 2016 di permulaan Persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula pada 17 Oktober depan

Menurutnya, jika Parlimen Singapura boleh meluluskan usul tahniah sebagai pengiktirafan terhadap pemenang pingat emas pertama mereka Joseph Schooling, tidak ada sebab mengapa Parlimen Malaysia tidak boleh menerima usul tersebut untuk dibahas dan diluluskan secara sebulat suara.

Ahli Parlimen Seremban itu menjelaskan,  tujuannya adalah untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia dan dunia bahawa sukan boleh menjadi penggerak perpaduan nasional yang merentasi perbezaan politik, kaum, agama dan wilayah.

“Memandangkan tiga wira tersebut telah mencipta sejarah memenangi pingat emas di temasya Paralimpik buat kali pertama untuk Malaysia, mereka wajar diberikan pengiktirafan tertinggi negara melalui institusi Parlimen selain daripada ganjaran kewangan dari kerajaan,” ujar beliau.

Anthony menyatakan sokongan penuhnya terhadap dasar Kementerian Belia dan Sukan untuk memberikan ganjaran yang setimpal dengan atlet-atlet Olimpik kepada pemenang-pemenang di Paralimpik.

Beliau turut berpandangan, ketiga-tiga wira Paralimpik yang merangkul pingat emas untuk Malaysia itu juga wajar diberikan ganjaran RM1 juta setiap orang. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru