Thursday, August 18, 2022

Mawan dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Lada Malaysia

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Hamzah sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Tan Sri William Mawan Ikom sebagai Pengerusi Lembaga Lada Malaysia (MPB).

Menterinya, Datuk Seri Mah Siew Kiong dalam sidang media di sini hari ini berkata, pelantikan Ahmad berkuat kuasa 1 September 2016 hingga 31 Ogos 2018, manakala William Mawan pula 16 Ogos lepas hingga 15 Ogos 2018.

Ahmad menggantikan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, yang terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak manakala William Mawan menggantikan Datuk Henry Sum Agong, yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Ahmad adalah bekas Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) selama 15 tahun, menjadi Pengerusi Kaukus Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), yang ditandatangani kerajaan pada 4 Februari lalu dan juga Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

William Mawan adalah mantan Menteri Pembangunan Sosial Sarawak dan pernah menyandang jawatan Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Sarawak.

“Saya yakin pelantikan baharu ini dapat merancakkan pembangunan kedua-dua sektor komoditi terbabit,” katanya.

Mah berkata, sektor komoditi menyumbang 15 peratus daripada keseluruhan eksport negara tahun lalu dengan nilai RM117.1 bilion dan industri sawit adalah penyumbang terbesar iaitu RM63.2 bilion pada 2015.

Sementara itu, keluasan tanaman lada negara pada tahun lalu adalah 16,426 hektar dengan pengeluaran 28,300 tan metrik dan Sarawak adalah pengeluar terbesar menghasilkan 98 peratus.

Mah berkata, pihaknya menyasarkan tanaman lada seluas 20,000 hektar menjelang 2020 dengan hasil 43,000 tan metrik setahun. – Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru